Tangani isu ketidakmampuan membeli hartanah secara menyeluruh dalam Belanjawan 2027

8 Oct 2026 • 5:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tangani isu ketidakmampuan membeli hartanah secara menyeluruh dalam Belanjawan 2027

PETALING JAYA –  Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan esok diharapkan dapat memperkenalkan langkah-langkah terbaik untuk mengatasi peningkatan kos operasi perniagaan, memperkukuh daya saing industri melalui  gabungan langkah jangka pendek dan penyelesaian jangka sederhana yang seimbang bagi  memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus memberikan manfaat  bermakna kepada rakyat.

Ketua Pegawai Operasi, Perancangan Kumpulan & Perkhidmatan Korporat M K Land, Nazri
Tumin berkata, meskipun langkah jangka pendek penting dalam menangani tekanan ekonomi
semasa, penekanan yang lebih baik dan menyeluruh juga perlu diberikan kepada usaha
menangani cabaran struktur yang mempengaruhi keupayaan perniagaan untuk melabur,
berkembang dan menyumbang secara mampan kepada ekonomi negara.

“Beberapa tahun kebelakangan ini telah diperlihatkan bagaimana perkembangan luaran,
daripada pandemik hinggalah kepada gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan kos
operasi, boleh memberikan kesan besar kepada pelbagai sektor industri dalam tempoh yang
singkat.

“Walaupun langkah sementara mampu memberikan kelegaan yang diperlukan, kami berharap
Belanjawan 2027 turut memberikan tumpuan kepada penyelesaian jangka sederhana yang
dapat menyediakan persekitaran lebih stabil dan terancang kepada pemain industri dalam
merangka pelaburan serta operasi perniagaan mereka.

Image from: Tangani isu ketidakmampuan membeli hartanah secara menyeluruh dalam Belanjawan 2027

“Pada akhirnya, persekitaran perniagaan yang lebih kukuh bukan sahaja memberikan manfaat
kepada syarikat, malah turut membawa kebaikan kepada rakyat melalui pelaburan berterusan,
peluang pekerjaan serta akses kepada produk dan perkhidmatan yang berkualiti,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai sektor hartanah, M K Land akan terus komited untuk menyokong usaha kerajaan menyediakan kediaman berkualiti pada harga mampu milik kepada rakyat meskipun kini berdepan cabaran dalam menguruskan kos pembangunan yang semakin meningkat

“Kami berharap Belanjawan 2027 tidak hanya tertumpu kepada bantuan jangka
pendek, sebaliknya turut mempertimbangkan langkah lebih mampan bagi menangani kos
pembangunan perumahan, termasuk meningkatkan kecekapan proses kelulusan
pembangunan, mengkaji semula kos pematuhan yang berkaitan serta memperkenalkan inisiatif
yang dapat membantu pemaju merancang dan mengurus kos dengan lebih berkesan,” katanya.

Nazri turut menekankan bahawa langkah memperluas akses kepada pembiayaan perumahan
dan meningkatkan kuasa beli rakyat adalah sama penting dalam memastikan permintaan
pasaran hartanah kekal mampan.

“Isu kemampuan memiliki kediaman perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira
keperluan kedua-dua pihak. Pembeli memerlukan akses kepada pembiayaan yang
bersesuaian, manakala pemaju pula memerlukan persekitaran operasi yang kondusif untuk
terus membangunkan kediaman berkualiti pada harga yang kompetitif.

Image from: Tangani isu ketidakmampuan membeli hartanah secara menyeluruh dalam Belanjawan 2027

“Apabila kedua-dua aspek ini diberikan perhatian secara seimbang, kita dapat mewujudkan
pasaran hartanah yang lebih sihat dan mampan, sekali gus memberikan manfaat kepada
pembeli rumah, pemaju serta keseluruhan ekosistem industri pembinaan,” jelasnya.

Mengulas mengenai sektor pelancongan dan rekreasi,  Nazri berharap Belanjawan 2027 akan
memberikan penekanan lebih besar terhadap usaha meningkatkan kemudahan akses,
kesalinghubungan pengangkutan serta daya saing jangka panjang destinasi pelancongan
utama negara, khususnya Langkawi.

“Malaysia mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang telah lama mendapat pengiktirafan
antarabangsa dan masih memiliki potensi besar untuk terus berkembang. Namun, bagi
memastikan destinasi ini kekal berdaya saing, aspek kemudahan akses, jaringan pengangkutan
dan pengalaman keseluruhan pelancong perlu diberikan perhatian secara berterusan.

“Langkawi, sebagai contoh, telah sekian lama menjadi antara destinasi pelancongan penting
negara. Kami berharap usaha yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan bagi menangani
cabaran kesalinghubungan dan mobiliti yang telah lama dihadapi, termasuk memudahkan
perjalanan pelancong ke pulau berkenaan serta pergerakan mereka sepanjang berada di sana,”
katanya.

Tambah beliau, bagi M K Land, yang mengendalikan Ombak Villa Langkawi di Kedah dan Bukit Merah Laketown Resort di Perak, pelaburan berterusan dalam infrastruktur pelancongan serantau serta promosi destinasi bukan sahaja dapat menyokong pertumbuhan perniagaan pelancongan, malah turut menjana manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada masyarakat setempat.

Dalam pada itu, mengulas tentang segmen tenaga boleh diperbaharui,  Belanjawan 2027 dilihat  dapat menggalakkan penyertaan sektor swasta melalui dasar yang lebih jelas dan konsisten, akses kepada pembiayaan serta penambahbaikan infrastruktur sokongan.

“Tenaga boleh diperbaharui merupakan komponen penting dalam pembangunan ekonomi dan
sektor tenaga negara untuk jangka panjang. Bagaimanapun, pembangunan projek dalam sektor
ini memerlukan komitmen modal yang besar serta perancangan teliti bagi tempoh yang panjang.

“Langkah yang dapat meningkatkan keyakinan pelabur, memudahkan akses pembiayaan serta
memperkukuh infrastruktur grid elektrik akan membantu menggalakkan lebih banyak
pembangunan baharu oleh pemain industri, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga
negara,” katanya.

M K Land kini mengendalikan loji solar berskala besar di bawah program Large Scale Solar 4
(LSS4) berkapasiti 10.95 MWac di Kerian, Perak, selain sedang membangunkan projek solar
berkapasiti 29.99 MWac di Kulim, Kedah menerusi Corporate Green Power Programme. -KOSMO! ONLINE

The post Tangani isu ketidakmampuan membeli hartanah secara menyeluruh dalam Belanjawan 2027 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved