Peruntukan RM280 juta dalam Belanjawan 2027 bantu golongan B40 nikmati akses kesihatan lebih baik – ProtectHealth

LocalHealth & Fitness
9 Oct 2026 • 6:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peruntukan RM280 juta dalam Belanjawan 2027 bantu golongan B40 nikmati akses kesihatan lebih baik – ProtectHealth Image from: Peruntukan RM280 juta dalam Belanjawan 2027 bantu golongan B40 nikmati akses kesihatan lebih baik – ProtectHealth liza09/10/2026 - 18:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt – ProtectHealth Corporation Sdn Bhd menyambut baik peruntukan RM280 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh penjagaan kesihatan pencegahan untuk golongan berpendapatan rendah serta mengurangkan tempoh menunggu rawatan di hospital kerajaan.

 

Peruntukan itu merangkumi RM80 juta untuk program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dan RM200 juta bagi Program Penyumberan Luar Perkhidmatan Hospital (HSOP).

 

ProtectHealth dalam satu kenyataannya berkata peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan menyokong usaha memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan, merangkumi saringan awal dan rawatan hospital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata, peruntukan berkenaan memperkukuh kepentingan kedua-dua program berkenaan serta memberi peluang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Kerajaan MADANI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kepercayaan berterusan kepada ProtectHealth untuk mentadbir program berkenaan.

 

PeKa B40 terima RM80 juta

PeKa B40 yang diperkenalkan KKM pada April 2019 dan ditadbir ProtectHealth bertujuan memenuhi keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam menangani penyakit tidak berjangkit.

 

Program itu menawarkan empat manfaat utama, iaitu saringan kesihatan, bantuan peralatan perubatan, insentif bagi melengkapkan rawatan kanser di hospital KKM serta bantuan pengangkutan untuk rawatan yang layak.

 

Bantuan peralatan perubatan merangkumi keperluan seperti alat pendengaran dan kanta intraokular, tertakluk pada keperluan klinikal serta syarat program.

 

Sejak diperkenalkan pada 2019 hingga 31 Ogos 2026, PeKa B40 telah memberi manfaat kepada lebih 2.22 juta rakyat Malaysia.

 

Wan Mohd Hazwan berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam penjagaan kesihatan pencegahan turut berperanan memperluas capaian program kepada lebih ramai rakyat yang layak.

 

Menurutnya, rangkaian ProtectHealth merangkumi 5,909 pengamal perubatan am swasta, 150 hospital KKM, 133 hospital swasta dan 227 makmal.

 

Beliau turut menggalakkan klinik yang mengambil bahagian supaya mengutamakan saringan kesihatan serta membantu pesakit yang layak memahami keadaan kesihatan mereka dan bantuan yang tersedia.

 

RM200 juta untuk kurangkan tempoh menunggu hospital

Sementara itu, peningkatan peruntukan kepada RM200 juta bagi HSOP dijangka membantu mengurangkan tekanan terhadap hospital dan klinik kerajaan.

 

Melalui program itu, pesakit KKM yang memenuhi syarat dan dirujuk oleh pakar KKM boleh mendapatkan rawatan serta perkhidmatan terpilih di fasiliti kesihatan swasta yang mengambil bahagian.

 

Pendekatan berkenaan bertujuan mengurangkan tempoh menunggu pesakit, selain memanfaatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan merentasi sektor awam dan swasta.

 

ProtectHealth berkata, kejayaan inisiatif berkenaan bergantung pada kerjasama erat antara kedua-dua sektor bagi memastikan pelaburan kerajaan dapat diterjemahkan kepada hasil kesihatan yang lebih baik untuk rakyat.

 

ProtectHealth ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan di bawah KKM yang mengurus pelbagai program kesihatan, termasuk PeKa B40, Skim Perubatan MADANI dan HSOP. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved