PFM hargai peruntukan RM130 juta industri kreatif

LocalMovie
9 Oct 2026 • 6:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PFM hargai peruntukan RM130 juta industri kreatif

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyambut baik peruntukan lebih RM130 juta bagi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan menerusi Belanjawan 2027, yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap penggiat seni tanah air.

Presidennya, Panchacharam Nalliah atau lebih dikenali sebagai Pansha, berkata peruntukan itu menunjukkan peningkatan berbanding belanjawan terdahulu, sekali gus memberi sokongan kepada perkembangan industri kreatif tempatan.

“Walaupun kita memohon peruntukan lebih tinggi, jumlah yang diberikan ini tetap wajar dihargai. PFM berterima kasih atas sokongan berterusan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai pengecualian duti hiburan di Wilayah Persekutuan, Pansha berpandangan insentif berkenaan perlu dikhususkan kepada filem tempatan bagi memastikan penggiat industri perfileman negara mendapat manfaat sewajarnya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengutamakan karya tempatan berbanding filem luar negara, selain membantu memperkukuh kedudukan penerbit tempatan dalam industri berkenaan.

“PFM berpendirian pengecualian duti hiburan ini perlu diberikan khusus kepada filem tempatan. Kita mahu sokongan padu diberikan kepada filem kita sendiri,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri lain supaya mengambil langkah serupa bagi membantu mengurangkan beban penerbit tempatan dan merancakkan lagi industri perfileman negara.

Dalam perkembangan sama, Pansha berkata insentif khas bagi penerbitan filem bertemakan kenegaraan mampu menjadi pemangkin kepada penghasilan karya yang mengangkat sejarah serta identiti negara.

Bagaimanapun, katanya, kos penerbitan filem sejarah dan kenegaraan pada masa ini memerlukan peruntukan lebih besar bagi membolehkan penerbit menghasilkan karya berkualiti tinggi dan memberi impak kepada penonton.

“Secara keseluruhannya, ini adalah belanjawan yang mesra rakyat dan memuaskan hati pelbagai pihak. PFM berharap semua penggiat industri kreatif dapat memanfaatkan peruntukan ini sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027, mengumumkan peruntukan lebih RM130 juta bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Peruntukan itu bertujuan mengangkat citra negara, mewujudkan peluang pekerjaan serta membawa kisah Malaysia ke pentas dunia.

The post PFM hargai peruntukan RM130 juta industri kreatif appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved