
PUTRAJAYA, 19 OKT: Kerajaan masih berupaya mengurus ekonomi negara dan meneruskan bantuan kepada rakyat, meskipun berdepan kenaikan harga minyak mentah dunia serta tekanan terhadap kos sara hidup, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata komitmen membantu rakyat itu termasuklah menerusi peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang meningkat kepada RM15 bilion berbanding RM8 bilion ketika beliau mengambil alih pentadbiran negara.
Anwar berkata Belanjawan 2027 dirangka berdasarkan kedudukan ekonomi negara dan keperluan rakyat, dengan manfaat pembangunan perlu dirasai semua lapisan masyarakat.
“Belanjawan tak jerebu...masalahnya tak baca. Kalau baca, jelas angka dan datanya,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan masih mampu mengurus kedudukan fiskal negara ketika berdepan kenaikan harga minyak mentah dunia, selain mengekalkan subsidi bahan api bagi meringankan beban rakyat.
Perbelanjaan subsidi minyak dianggarkan RM40 bilion setahun bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
“Apakah tidak perlu? Bagi saya perlu untuk meringankan beban rakyat,” kata beliau.
Anwar berkata usaha menyasarkan subsidi perlu diteruskan bagi mengurangkan ketirisan dan pembaziran, selain memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan.
Beliau mengakui penyasaran subsidi, merupakan antara langkah ekonomi paling mencabar kerana pelaksanaannya memerlukan keberanian politik serta kesediaan menghadapi pelbagai reaksi.
Dalam pada itu, Anwar berkata peningkatan gaji penjawat awam memerlukan peruntukan tambahan RM18 bilion, selepas kira-kira 12 tahun tanpa kenaikan gaji.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memberikan ganjaran lebih adil kepada penjawat awam, selain mengharapkan mereka meningkatkan mutu perkhidmatan, mengelakkan ketirisan dan menolak rasuah.
Kerajaan turut memberi perhatian kepada pekerja berpendapatan rendah dan golongan ekonomi gig, bagi memastikan keperluan mereka diambil kira dalam perancangan perbelanjaan.
Anwar berkata bantuan kerajaan perlu dilihat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat dan bukannya pengganti kepada pendapatan atau gaji mereka.
Beliau turut menyentuh bantuan RM1,000 kepada setiap pemandu teksi, yang dibiayai daripada hasil nombor pendaftaran kenderaan baharu.
Anwar berkata hasil berkenaan, dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi bantuan yang mengambil kira cabaran dihadapi golongan pemandu teksi.
Anwar berkata pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan dan kemajuan teknologi, perlu bergerak seiring dengan usaha menangani isu gaji rendah, sewa rumah yang tinggi dan kenaikan harga barangan keperluan.
Beliau berkata pembangunan juga perlu diagihkan secara lebih seimbang antara negeri, termasuk negeri yang mempunyai hasil lebih rendah tetapi memerlukan peruntukan bagi menangani kemiskinan, tebatan banjir dan penyediaan prasarana asas.
Perdana Menteri berkata usaha itu penting, bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di negeri atau kawasan yang lebih maju.






