
PUTRAJAYA: Kerajaan masih mampu membentangkan Belanjawan berpaksikan rakyat meskipun berdepan tekanan ekonomi global, kenaikan harga minyak serta peningkatan kos sara hidup yang mencetuskan rusuhan di beberapa negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan itu didorong pengurusan ekonomi negara yang membolehkan pertumbuhan terus dikembangkan, selain defisit fiskal dikurangkan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Beliau berkata, unjuran harga minyak pada tahun lalu yang ditetapkan pada AS$70 setong kini jauh berbeza apabila harga komoditi itu meningkat sehingga AS$120 setong.
Menurutnya, kenaikan harga minyak dan kos barangan memberi tekanan kepada banyak negara, terutama di Eropah, sehingga mencetuskan rusuhan apabila kerajaan berdepan kesukaran menangani keperluan asas rakyat.
“Tetapi lazimnya di semua negara harga barang akan melonjak naik menyebabkan banyak negara, terutama di Eropah sekarang, menghadapi rusuhan rakyat, tak mampu menyelesaikan masalah asas kehidupan mereka, dari sekolah, dari gaji guru kepada gaji pekerja, kepada kemudahan asas, itu semua jadi masalah. Jadi kita tengok rusuhan yang merebak.
“Dan negara jiran juga hadapi dan kita bertambah pula dengan jerebu. Jerebu itu udara, tapi Belanjawan tak ‘jerebu’. Masalah (ada orang) tak baca Belanjawan. Kalau baca, jelas angka dan datanya, dibuat dengan begitu teliti. Jadi boleh baca, kalau tak boleh baca jerebulah ini,” katanya ketika menyampaikan amanat ketika majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia masih berupaya mengembangkan ekonomi dari 2026 hingga 2027, selain mengurangkan defisit fiskal meskipun keadaan ekonomi terjejas.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan pengurusan ekonomi yang melibatkan kerjasama seluruh jentera kerajaan, bukannya bergantung kepada seseorang menteri semata-mata.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi negara perlu mengambil kira keperluan rakyat di peringkat akar umbi, termasuk golongan pesawah, nelayan dan pekerja berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos kehidupan.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang rancak, peningkatan pelaburan dan kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha menangani isu gaji rendah, kadar sewa rumah yang tinggi serta kenaikan harga barangan keperluan.
“Tetapi mengakar ke bumi juga melihat pada kenyataannya, kerangka pertumbuhan harus rancak dan segar, pelaburan harus tinggi, teknologi harus memacu ke langit, tetapi mengakar ke bumi kerana bagaimana pesawah padi di Kedah, nelayan pantai di Perak, ya, nasib pekerja yang gajinya terlalu rendah, sewa rumah yang terlalu mahal, harga bawang yang diimport dari India meningkat, itu yang disebut mengakar ke bumi. Maknanya harus juga melihat kepada permasalahan semua rakyat,” katanya.
Anwar berkata, aspek pembangunan seimbang antara negeri turut menjadi keutamaan bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan yang lebih maju.
Menurutnya, negeri yang mempunyai hasil lebih rendah tetap memerlukan peruntukan pembangunan yang meningkat bagi menangani masalah kemiskinan, tebatan banjir dan penyediaan prasarana asas.
“Kerana kalau dengar perbahasan di Parlimen, oh kita menganiaya, menganak tirikan negeri. Jadi kita senaraikan berapa peruntukan. Hasil dari negeri-negeri yang relatif miskin itu hasilnya kecil, tapi belanjanya terus meningkat kerana masalah tebatan banjir, masalah kemiskinan, masalah prasarana asas harus dibangunkan,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan memastikan pertumbuhan ekonomi disertai pengagihan pembangunan yang lebih seimbang agar negeri dan kawasan yang kurang maju tidak terus ketinggalan.
“Sebab itu kita katakan keserataan ekonomi. Dan ekonomi itu tidak harus menjurus kepada kepentingan rantau atau kawasan negeri yang sudah kaya,” katanya. – UTUSAN
The post Belanjawan negara tidak ‘jerebu’, masih mampu bentang berpaksi rakyat – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.






