
PUTRAJAYA, 12 OKT: Kucing sering dilihat sebagai haiwan peliharaan, namun bagi sesetengah individu, memelihara “si bulus” bukan sekadar memenuhi minat, malah turut menuntut tanggungjawab, komitmen terhadap kebajikan haiwan serta kemampuan kewangan.
Perkara itu mendapat perhatian dalam Belanjawan 2027 apabila kerajaan mencadangkan peluasan skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup untuk merangkumi perbelanjaan berkaitan pengambilan haiwan peliharaan angkat dari pusat perlindungan berdaftar serta perkhidmatan veterinar.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat pada Jumaat, berkata cadangan berkenaan dikemukakan selepas kerajaan mendapati ramai rakyat berminat memelihara haiwan.
“Ramai minat kucing, ada minat kupu-kupu, ada minat ular... semua itu terangkum dalam cadangan kita,” katanya.
Pada Sabtu, selepas Wawancara Khas Belanjawan MADANI 2027, Anwar memberitahu Bernama bahawa beliau sendiri tidak memelihara kucing di rumah, sebaliknya anaknya yang berbuat demikian.
Perbezaan antara minat peribadi dengan pertimbangan dasar itu memperlihatkan bahawa penggubalan dasar awam tidak semestinya berasaskan pengalaman peribadi pemimpin, sebaliknya perlu mengambil kira kepelbagaian keperluan, minat dan amalan masyarakat.
Berdasarkan cadangan dalam Lampiran 6 Belanjawan 2027, had pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup kekal RM2,500, dengan skop perbelanjaan yang layak diperluas mulai tahun taksiran 2027.
Ketika ini, pelepasan berkenaan meliputi pembelian bahan bacaan, termasuk e-buku dan surat khabar harian dalam bentuk bercetak atau elektronik, komputer peribadi, telefon pintar atau tablet serta langganan Internet.
Cadangan baharu itu turut memperluas skop pelepasan bagi menggalakkan literasi digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk perbelanjaan untuk langganan perisian dan aplikasi AI bagi kegunaan sendiri, pasangan atau anak.
Dari sudut kebajikan haiwan pula, pelepasan itu dicadangkan meliputi kos pengambilan haiwan peliharaan angkat dari pusat perlindungan haiwan berdaftar serta perkhidmatan veterinar berdaftar bagi vaksinasi dan rawatan pemulihan.
Langkah itu membawa dimensi baharu kepada perbincangan mengenai kebajikan haiwan dalam dasar fiskal negara, selain mengiktiraf bahawa pemilikan haiwan turut melibatkan kos penjagaan dan kesihatan.
Bagaimanapun, peluasan skop berkenaan tidak meningkatkan had maksimum pelepasan cukai. Sebaliknya, perbelanjaan yang memenuhi syarat akan tertakluk pada had RM2,500 sedia ada.
Justeru, penjelasan mengenai skop perbelanjaan yang layak dituntut serta mekanisme tuntutan amat penting bagi memastikan pembayar cukai memahami syarat yang ditetapkan dan dapat memanfaatkan kemudahan itu apabila berkuat kuasa.
Pada masa yang sama, Belanjawan 2027 perlu dilihat dalam konteks keutamaan sosial yang lebih luas. Dalam wawancara bersama Bernama, Anwar berkata kerajaan perlu mendahulukan golongan yang tidak mempunyai makanan mencukupi sebelum menangani keperluan kumpulan lain.
Pendekatan itu mengingatkan bahawa keadaan sosioekonomi rakyat berbeza-beza. Ketika sesetengah isi rumah bergelut memenuhi keperluan asas, isi rumah lain pula berdepan komitmen berbeza, termasuk kos penjagaan haiwan peliharaan.
Dalam keadaan sumber kerajaan perlu diagihkan mengikut keutamaan, cabarannya adalah untuk memastikan golongan paling memerlukan terus mendapat perhatian tanpa mengetepikan isu kebajikan dan keperluan masyarakat yang lebih luas.
Pada akhirnya, keberkesanan sesebuah belanjawan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau senarai insentif yang diumumkan, tetapi juga melalui pelaksanaan yang berkesan serta manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
Dalam konteks ini, pelepasan cukai berkaitan pengambilan haiwan peliharaan angkat mungkin hanya satu komponen kecil dalam Belanjawan 2027. Namun, cadangan itu memperlihatkan bagaimana dasar awam boleh mengambil kira isu yang dekat dengan kehidupan seharian, di samping mengekalkan tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan golongan rentan tidak tercicir.
Belanjawan 2027, yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, memperuntukkan RM459.8 bilion. Selain itu, belanjawan berkenaan merangkumi pelaburan RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion dalam bentuk pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD). Secara keseluruhan, jumlah itu mencecah RM510 bilion, sekali gus meneruskan dasar fiskal mengembang kerajaan.
Belanjawan MADANI kelima itu turut bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat menerusi gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh serta usaha mempercepat peralihan kepada industri bernilai tinggi.





