KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manakala bayaran minimum dikenakan hanya RM50 ke atas peminjam yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
"Langkah ini akan memanfaatkan lebih 400,000 peminjam PTPTN.
"Peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak ketiga.
Menurutnya, galakan itu meliputi bayaran balik yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.






