
PPJKKM cadang kerajaan perkenal geran permulaan untuk pusat jagaan kanak-kanak berdaftar baharu dalam Belanjawan 2027 bagi kurangkan beban kos permulaan.
KUANTAN: Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia (PPJKKM) mencadangkan kerajaan memperkenalkan geran permulaan untuk Pusat Jagaan Kanak-Kanak (PJKK) berdaftar baharu dalam Belanjawan 2027.
Pengasas dan Pengerusi Persatuan Simon Ng berkata cadangan itu bagi membantu pengusaha PJKK baharu mengurangkan beban kos permulaan, serta memperkukuh pembangunan industri PJKK berdaftar yang lebih tersusun dan profesional.
Beliau berkata pengusaha PJKK baharu perlu menanggung pelbagai kos pada peringkat awal, termasuk pengubahsuaian premis, pemasangan peralatan keselamatan kebakaran, kemudahan pembelajaran serta urusan pendaftaran dan pentadbiran.
“Keadaan ini menyebabkan beban kewangan yang tinggi. Sekiranya kerajaan menyediakan geran permulaan tersebut, ia dapat mengurangkan halangan untuk menubuhkan PJKK berdaftar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pertambahan jumlah PJKK berdaftar akan memberikan lebih banyak pilihan kepada ibu bapa untuk mendapatkan perkhidmatan itu selepas waktu persekolahan yang berkualiti, sekali gus mengurangkan beban penjagaan anak dan membantu meringankan tekanan kewangan keluarga, khususnya golongan berpendapatan sederhana (M40).
“Inisiatif ini akan meningkatkan tahap keselamatan, kualiti persekitaran pembelajaran serta pemantauan terhadap PJKK berdaftar, sekali gus memperkukuh keyakinan ibu bapa terhadap pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar,” katanya.
Simon turut menyeru kerajaan agar memasukkan industri PJKK berdaftar sebagai sebahagian daripada ekosistem sokongan pendidikan dan pembangunan keluarga ketika merangka Belanjawan 2027, supaya pembangunan industri itu dapat diperkasakan melalui dasar yang lebih menyeluruh dan bersasar.
Beliau berkata geran itu bukan sahaja dapat menyokong perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan pendidikan, malah membantu mengurangkan beban keluarga.
“Ia satu pelaburan jangka panjang yang memberikan manfaat kepada kanak-kanak, keluarga dan komuniti, serta wajar dipertimbangkan secara positif oleh kerajaan,” katanya.




