
GEORGE TOWN : Pulau Pinang berharap agar cadangan untuk menubuhkan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membentangkan cadangan itu kepada Kementerian Kewangan berdasarkan kertas putih yang disediakan perunding yang dilantik sekiranya diperlukan.
Katanya, PIFC bukan bertujuan untuk bersaing dengan pusat kewangan sedia ada seperti Kuala Lumpur, Labuan atau Zon Ekonomi Khas Johor (JS-SEZ), sebaliknya, akan menampilkan keunikan Pulau Pinang dengan memberi tumpuan kepada kekuatan negeri itu sebagai hab teknologi bertaraf dunia dan serantau.
“Kita perlu membezakan pusat kewangan di Pulau Pinang dengan lokasi lain berdasarkan asas kukuh negeri ini sebagai hab teknologi di dunia dan rantau ini,” katanya selepas menghadiri program jelajah SC Penang Semicon bertemakan Powering SemiCons: Financing Your Next Breakthrough di sini, hari ini.
Kon Yeow berkata, PIFC pada masa akan datang berkemungkinan dikenali sebagai Pusat Kewangan Teknologi Pulau Pinang bagi mencerminkan matlamat penubuhannya untuk menyokong pembiayaan pembangunan teknologi.
Katanya, perkara utama yang mahu ditangani menerusi PIFC ialah bagaimana pembiayaan dapat disediakan bagi membantu pembangunan teknologi serta membuka potensi industri berkenaan di Pulau Pinang.
Beliau berkata, Pulau Pinang telah membina asas ekosistem perindustrian selama beberapa dekad menerusi kehadiran syarikat multinasional, infrastruktur, taman perindustrian, firma berpengalaman dan tenaga kerja berkemahiran.
Bagaimanapun, katanya, aspek pembiayaan masih perlu diperkukuh, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mahu mengembangkan perniagaan melepasi keupayaan sedia ada.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, tumpuan Pulau Pinang terhadap bidang reka bentuk litar bersepadu sejak dua tahun lalu turut menunjukkan perkembangan menggalakkan ketika negeri itu berusaha bergerak melangkaui kekuatan tradisional dalam bidang pemasangan dan pengujian.
“Oleh itu, kita berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan komitmen jelas terhadap cadangan PIFC menerusi Belanjawan 2027, sekali gus membolehkan kerajaan negeri meneruskan perancangan seterusnya. Jika kerajaan Persekutuan bersetuju dengan inisiatif PIFC ini, sudah pasti kita sangat gembira,” katanya.-UTUSAN
The post Belanjawan 2027: P.Pinang harap cadangan tubuh PIFC diluluskan appeared first on Utusan Malaysia.





