Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 4:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion Image from: Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion sarah09/10/2026 - 16:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt -- Sabah diperuntukkan RM18.7 bilion manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat berbanding masing-masing RM17.6 bilion dan RM15.1 bilion tahun ini.

 

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan Persekutuan kepada kedua-dua negeri itu kekal pada tahap tertinggi pada 2027, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Anwar berkata, kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion.

 

Bayaran itu akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini, manakala rundingan bersama kedua-dua negeri diteruskan bagi memuktamadkan formula tahunan yang adil dan mampan.

 

Menurut beliau, sebanyak 12 perkara berkaitan MA63 telah dimuktamadkan di bawah pentadbiran MADANI, termasuk pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta pengambilalihan MASWings oleh kerajaan negeri untuk dijenamakan sebagai AirBorneo.

 

Kerajaan Persekutuan turut menyediakan subsidi RM209 juta bagi perkhidmatan penerbangan yang memberi manfaat kepada 820,000 penumpang di kawasan pedalaman, selain memperuntukkan RM600 juta bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di Sabah selepas penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada negeri itu.

 

Dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi, kerajaan juga bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.

 

sbh

 

Sementara itu, kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan rasmi dengan kerajaan Sarawak bagi memuktamadkan kerangka insentif, penubuhan pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta keperluan infrastruktur strategik bagi pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu.

 

Bagi memperkukuh bekalan elektrik di Sabah, kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan sistem STATCOM di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.

 

Projek Talian Penghantaran Southern Link turut diteruskan sebagai usaha jangka panjang untuk menjamin kesinambungan bekalan elektrik di negeri itu.

 

Dalam sektor pengangkutan, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan pada 2027 bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak.

 

Antara projek berkenaan ialah Lebuhraya Pan Borneo, dengan Surat Setuju Terima (SST) bagi seksyen Miri telah dikeluarkan, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka menyusul menjelang akhir tahun ini.

 

Projek Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B pula disasarkan siap menjelang akhir 2027.

 

Kerajaan turut memperuntukkan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved