johardy13/10/2026 - 08:00 Oleh Dr Hasrul Hosshan surartpembaca@dagangnews.com Setiap kali belanjawan dibentangkan, komuniti orang kurang upaya (OKU) dan keluarga mereka menunggu dengan persoalan yang sangat dekat dengan kehidupan mereka.
Adakah bantuan kali ini dapat meringankan perbelanjaan? Adakah anak mendapat tempat belajar yang sesuai? Bagaimana hendak bekerja jika pengangkutan masih menjadi halangan? Dan persoalan paling berat bagi ibu bapa ialah siapakah yang akan menjaga anak apabila mereka sudah tiada?
Belanjawan 2027 membawa beberapa pengumuman yang wajar dihargai. Peruntukan keseluruhan bantuan OKU meningkat kepada RM1.5 bilion untuk memanfaatkan lebih 300,000 individu. Bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik pula dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
Ini menunjukkan keperluan komuniti OKU terus mendapat perhatian dalam perancangan negara. Namun, sejauh manakah perhatian tersebut dapat diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih bermaruah dan terjamin?

Sebagai Pengarah CIRCLE UPSI, saya melihat belanjawan ini sebagai langkah yang membuka ruang penambahbaikan. Penilaian kita perlu merangkumi kecukupan bantuan, kemudahan untuk mengaksesnya dan kesinambungan sokongan sepanjang kehidupan. Ukuran akhirnya ialah perubahan yang benar-benar dirasai oleh individu OKU dan keluarga mereka di rumah, sekolah, tempat kerja serta komuniti.
Kenaikan bantuan penjagaan sebanyak RM100 sebulan membawa makna kepada keluarga yang perlu menyediakan keperluan harian secara berterusan. Tambahan ini boleh membantu menampung sebahagian kos pembelian lampin, barangan penjagaan atau perjalanan untuk mendapatkan rawatan. Kita tidak seharusnya memperkecilkan nilainya.
Namun, kecukupannya perlu dinilai dengan mengambil kira kos sebenar penjagaan, tahap kebergantungan individu dan pendapatan yang terpaksa dilepaskan apabila ahli keluarga menjadi penjaga sepenuh masa.
Oleh itu, bantuan tunai perlu disertai perkhidmatan sokongan. Antaranya ialah penjagaan sementara yang membolehkan penjaga berehat, khidmat sokongan di rumah, latihan praktikal dan bantuan psikososial. Penjaga juga memerlukan masa untuk tidur, bekerja dan menjaga kesihatan sendiri. Kesejahteraan mereka ialah sebahagian daripada kualiti penjagaan OKU.
Pengumuman latihan kemahiran khusus untuk 3,000 penjaga OKU baharu memberi peluang untuk memperkukuh bidang ini. Pelaksanaannya perlu menitikberatkan kompetensi, penyeliaan dan keselamatan penerima perkhidmatan.
Latihan mesti meliputi komunikasi, bantuan dalam aktiviti harian, penghormatan terhadap pilihan individu serta pencegahan pengabaian dan penderaan. Kita mahu membina tenaga penjagaan yang mahir dan bertanggungjawab, dengan laluan kerjaya yang dihargai.
Pendidikan mesti bermakna
Dalam pendidikan, kenaikan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan, yang diumumkan untuk memanfaatkan 150,000 murid, ialah perkembangan positif. Insentif pengajaran pula meningkat daripada RM250 kepada RM300 sebulan bagi 20,000 guru pendidikan khas. Kedua-duanya mengiktiraf keperluan murid dan peranan pendidik.
Walau bagaimanapun, pengalaman pembelajaran turut bergantung pada sokongan profesional, bahan yang sesuai, kemudahan sekolah dan masa guru untuk merancang pengajaran individu.
Seorang murid mungkin sudah berada di dalam kelas, tetapi adakah dia dapat memahami arahan, menyertai aktiviti dan membina persahabatan? Pendidikan inklusif perlu dinilai melalui penyertaan yang bermakna.
Kehadiran fizikal sahaja belum mencukupi. Matlamatnya ialah murid berasa diterima, mempunyai peluang membuat pilihan dan menunjukkan perkembangan berdasarkan keperluan serta kebolehannya.
Pembinaan dua Pusat Permata Kurnia di Melaka dan Pahang serta pembukaan lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan desa turut memberikan harapan. Usaha mendekatkan pendidikan dan sokongan awal kepada keluarga kurang berkemampuan wajar disambut.
Namun, pertambahan pusat dan kelas mesti disertai tenaga terlatih, penyelarasan rujukan serta peruntukan operasi yang berterusan.
Kita juga perlu memastikan kanak-kanak yang memerlukan tahap sokongan lebih tinggi mempunyai laluan perkhidmatan yang jelas.
Apabila sesuatu program menetapkan kumpulan sasaran tertentu, keluarga yang tidak memenuhi kriteria tersebut perlu dibantu untuk mendapatkan pilihan yang sesuai. Jangan sampai ibu bapa berulang kali berpindah dari satu pintu ke pintu lain tanpa penyelesaian.
Rancangan menaik taraf 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti kepada Pusat Terapi Khusus, dengan sasaran untuk memanfaatkan 20,000 OKU sindrom Down berdaftar, turut memerlukan penelitian dari segi pelaksanaan.
Angka sasaran ini perlu diterjemahkan kepada kapasiti sebenar: berapa orang yang boleh menerima perkhidmatan, berapa kerap sesi ditawarkan dan sejauh mana keluarga perlu melakukan perjalanan? Akses yang diumumkan mesti menjadi akses yang boleh digunakan.
Perkhidmatan komuniti juga perlu membantu individu menggunakan kemahiran dalam kehidupan sebenar. Selain sesi terapi, mereka memerlukan peluang untuk mengurus diri, berkomunikasi, beriadah, berkawan dan menyertai kegiatan setempat. Kejayaan wajar dilihat pada peningkatan penyertaan dan pilihan hidup, di samping jumlah sesi yang diselesaikan.
Sokongan sepanjang hayat
Dalam pekerjaan, peningkatan ambang pendapatan bagi kelayakan Elaun Pekerja OKU daripada RM1,700 kepada RM2,000 ialah langkah yang baik. Perlu dijelaskan bahawa RM2,000 merupakan had pendapatan bagi kelayakan, bukannya jumlah elaun bulanan.
Langkah ini berpotensi meluaskan kelayakan, tertakluk pada syarat pelaksanaan. Namun, peluang untuk memperoleh dan mengekalkan pekerjaan tetap memerlukan perhatian khusus.
Latihan kesediaan kerja perlu dihubungkan dengan penempatan pekerjaan sebenar, bimbingan jurulatih pekerjaan dan penyesuaian tugas. Majikan memerlukan panduan praktikal untuk menyediakan arahan yang jelas, persekitaran yang sesuai dan penilaian prestasi yang adil.
Individu OKU pula perlu mempunyai peluang kemajuan kerjaya. Kejayaan program pekerjaan patut diukur melalui pengekalan pekerjaan, pendapatan dan kesejahteraan pekerja.
Persoalan kehidupan dewasa juga mesti mendapat tempat. Selepas tamat sekolah, apakah pilihan untuk individu yang memerlukan sokongan berterusan? Bagaimanakah mereka boleh tinggal dalam komuniti, membuat keputusan dan menjalani kehidupan yang selamat apabila ibu bapa semakin berusia? Sokongan sepanjang hayat perlu menghubungkan pendidikan, pekerjaan, penjagaan dan kehidupan berdikari mengikut keperluan individu.
Pada masa yang sama, perhatian kepada autisme dan sindrom Down perlu berjalan seiring dengan akses yang saksama bagi komuniti OKU yang mempunyai pelbagai keperluan.
Keperluan individu dengan ketidakupayaan fizikal, penglihatan, pendengaran, pertuturan, mental dan pelbagai ketidakupayaan juga harus diambil kira. Perkhidmatan awam, pengangkutan serta maklumat yang boleh diakses menentukan sama ada manfaat belanjawan benar-benar sampai kepada mereka.
Bagi saya, pelaksanaan memerlukan maklumat yang mudah difahami: siapa yang layak, bagaimana hendak memohon, bila bantuan bermula dan ke mana aduan boleh disalurkan. Kemajuan juga perlu dilaporkan berdasarkan masa menunggu, liputan kawasan dan pengalaman penerima.
Wakil OKU serta penjaga mesti dilibatkan dalam penilaian hasil pelaksanaan. Universiti seperti UPSI boleh menyumbang melalui penyelidikan, latihan dan penilaian bersama komuniti.
Jadi, adakah OKU sudah terbela? Belanjawan 2027 memberikan asas untuk bergerak lebih jauh, tetapi pembelaan sebenar perlu dibuktikan melalui pelaksanaan yang konsisten.
Bagi sebuah keluarga, maknanya mungkin seorang anak diterima untuk belajar, seorang penjaga mendapat ruang untuk berehat atau seorang dewasa memperoleh pekerjaan yang bermaruah. Apabila perubahan ini menjadi pengalaman biasa di seluruh negara, barulah janji belanjawan benar-benar terasa dalam kehidupan komuniti OKU. - DagangNews.com
Dr Hasrul Hosshan merupakan Pengarah Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)






