Belanjawan pertahanan 2026 belum cukup bagi tingkatkan keupayaan ATM

13/10/2025 - 08:54
Kapal kelas Makassar jenis sama yang ditawarkan syarikat Indonesia kepada Malaysia sebagai calon kapal MRSS. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh
Belanjawan pertahanan 2026 walaupun jumlahnya kelihatan besar tetapi belum memadai untuk benar-benar memperkasakan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepertimana diramalkan.
Ini kerana beberapa jangkaan perolehan yang sepatutnya dilaksanakan tidak dibuat, bermakna tempoh lebih lama terpaksa ditunggu seperti program pesawat tempur ringan (LCA) kumpulan kedua, kapal ronda pesisir (LMS) Batch 3 dan sistem meriam mudah alih (SPH).
Begitu juga jangkaan peruntukan untuk program penggantian kenderaan perisai Sibmas dan Condor yang masih menyepi.
Cuma seperti dijangka, kerajaan meluluskan peruntukan bagi pembelian besar iaitu kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) TLDM.
Peruntukan sebanyak RM6 bilion bagi perolehan aset dan penyelenggaraan ATM ini dilihat lebih sedikit berbanding belanjawan lepas.
Tumpuan khusus kepada pengukuhan aset strategik, peningkatan keupayaan logistik, serta penambahbaikan infrastruktur.
Dalam persekitaran geopolitik yang semakin kompleks, langkah ini bukan sahaja relevan, malah kritikal untuk memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.



Fokus utama Belanjawan 2026 adalah pada perolehan dua buah kapal MRSS iaitu aset yang telah lama dinantikan TLDM sejak 20 tahun lalu.
Langkah ini dilihat selaras dengan hala tuju Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan oleh MINDEF sebelum ini.
Ia bukan sahaja merangka pelan jangka panjang untuk pembinaan keupayaan ketenteraan, malah turut menyentuh keperluan pemodenan sistem senjata dan peningkatan kebolehan bertindak pantas ATM.
Perolehan MRSS merupakan antara inisiatif paling signifikan dalam belanjawan kali ini.
Kerajaan beberapa kali menangguhkan perolehan MRSS atas pelbagai faktor, termasuk kekangan fiskal dan keutamaan yang berubah-ubah.


Kepentingan aset ini tidak boleh dipandang ringan. Malaysia merupakan sebuah negara maritim dengan dua wilayah utama yang dipisahkan oleh Laut China Selatan.
Keupayaan logistik maritim yang mantap bukan sahaja memastikan mobilisasi aset dan anggota ATM secara efektif, tetapi juga meningkatkan kapasiti tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman atau bencana di kedua-dua wilayah.
Bagaimana pun, pembelian MRSS tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana ada banyak proses yang diperlukan termasuk melihat jenis kapal dan kerjasama industri.
Apa yang pasti, ini akan menarik pihak industri pertahanan maritim untuk terus melihat Malaysia sebagai satu destinasi ekonomi pertahanan yang berdaya saing.
Dijangkakan lebih banyak syarikat pertahanan maritim akan hadir ke Malaysia pada LIMA 2027 nanti untuk membawa pelbagai tawaran, kerjasama selain kesediaan memindahkan peluang ekonomi ke sini.


Bukan sahaja syarikat pembuat kapal, malah melibatkan syarikat-syarikat hiliran termasuk syarikat tempatan yang berkemampuan.
Buat pertama kalinya juga ATM bakal mempunyai sistem pertahanan udara berlapis apabila kerajaan meluluskan peruntukan membeli sistem pertahanan udara jarak sederhana (MRAD), jarak dekat dan sangat dekat (SHORAD, VSHORAD).
Kepentingan memiliki sistem pertahanan udara berlapis telah lama ditekankan ATM, tambahan pula dengan ancaman udara yang berlaku dalam trend peperangan moden.


Ini termasuk untuk menghadapi ancaman dron.
Buat permulaan, mendapatkan sekurang-kurangnya satu rejimen sistem MRAD memadai sebagai pendedahan terhadap pengoperasian persenjataan berteknologi tinggi ini.
Bagi sistem SHORAD, ATM akan membuat perolehan baharu bagi menggantikan sistem sedia ada yang telah lama digunakan.
Selain perolehan aset, MINDEF juga memperuntukkan sebahagian bajet untuk menaik taraf kemudahan latihan dan infrastruktur ketenteraan di seluruh negara.
Antara projek tumpuan ialah pembangunan fasiliti baharu di Pusat Latihan Artileri, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, yang menjadi pusat utama latihan artileri ATM.


Di Pantai Timur Sabah, kawasan yang sering terdedah kepada ancaman jenayah rentas sempadan dan pencerobohan asing diberi tumpuan.
Kerajaan akan menggantikan Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah dengan Multi Purpose Command Platform (MPCP) yang baharu, memandangkan pelantar sedia ada bakal tamat tempoh operasi pada Jun 2026.
Ini bakal memperkukuh kehadiran strategik ATM di kawasan perairan sensitif tersebut.
Di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan perolehan aset bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain di bawahnya.
Ini termasuk perolehan 100 buah kenderaan pacuan empat roda 4x4 untuk kegunaan risikan dan operasi PDRM dan 4 buah bot peronda pantas (Fast Patrol Vessel) untuk Pasukan Polis Marin.



Sebuah pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berperanan penting dalam pemantauan perairan negara dan menangani isu pencerobohan serta penyeludupan juga dibeli.
Ketika ini APMM hanya mempunyai sebuah pesawat Bombardier CL-415 setelah pesawat kedua ditamatkan perkhidmatan.
Tambahan lagi, kerajaan turut memperuntukkan lebih RM1.5 bilion bagi pembinaan dan naik taraf fasiliti APMM dan PDRM.
Apa yang ketara daripada Belanjawan 2026 adalah usaha kerajaan menyeimbangkan keperluan jangka pendek (operasi semasa) dan perancangan jangka panjang (pembangunan keupayaan masa depan).


Perolehan aset pertahanan seperti MRSS dan sistem pertahanan udara tidak hanya menambah keupayaan taktikal ATM, tetapi juga mengangkat profil ketenteraan Malaysia di rantau ini.
Dalam masa yang sama, penekanan terhadap logistik dan kemudahan latihan menunjukkan pemahaman bahawa kuasa pertahanan bukan sahaja terletak pada aset (hardware), tetapi juga kecekapan latihan dan kesediaan logistik.
Dalam era ketidaktentuan global, peningkatan peruntukan untuk aset ketenteraan dan keselamatan dalaman adalah satu keperluan dan bukan lagi satu pilihan.
Belanjawan 2026 dilihat sebagai asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan pertahanan dan keselamatan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Jumlah ini perlu ditambah pada belanjawan tahun hadapan. - DagangNews.com
featured standard

