Kerajaan Selangor bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion, fokus pengurusan dan pembangunan

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 5:44 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta usaha memperkukuh ekonomi dalam menghadapi cabaran semasa, lapor Berita Harian.

Belanjawan bertemakan ‘Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ itu memperuntukkan RM1.9 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, sementara RM1.4 bilion bersamaan 42.4 peratus disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan berkenaan dirangka bagi memastikan pentadbiran negeri lebih bersedia dan tangkas dalam mendepani perubahan serta keperluan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM2.85 bilion pada 2027 dengan premium tanah dijangka menjadi penyumbang terbesar, diikuti cukai tanah dan pemberian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Bagi tahun 2027, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang mampu dikutip sebanyak RM2.85 bilion. Ia membabitkan premium tanah sebanyak RM1,112.85 juta bersamaan dengan 39 peratus daripada anggaran hasil.
“Seterusnya, cukai tanah diunjurkan menyumbang sebanyak RM653.82 juta bersamaan dengan 23 peratus daripada hasil keseluruhan, manakala pemberian Persekutuan sebanyak RM292.70 juta bersamaan dengan 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Shah Alam hari ini.

Image from: Kerajaan Selangor bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion, fokus pengurusan dan pembangunan

Foto: Bernama

Dalam pembentangan sama, Amirudin menjelaskan bahawa belanjawan kali ini disusun berteraskan lima tonggak utama yang merangkumi perubahan iklim, pembangunan prasarana, kesejahteraan rakyat, kecerdasan buatan dan ekonomi negeri, pendidikan sepanjang hayat serta pemantapan perkhidmatan kepada rakyat.

Sementara itu, kedudukan kewangan Selangor terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila rizab negeri meningkat kepada RM5.12 bilion setakat 11 November 2026, susulan pertambahan sebanyak RM384.84 juta.

Jumlah rizab berkenaan terdiri daripada RM1.713 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan dan RM3.408 bilion menerusi Akaun Amanah Disatukan.

Amirudin berkata, pengurusan kewangan yang berhemah turut membolehkan kerajaan negeri merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM422.40 juta dalam tempoh sama.

“Sebanyak RM1.413 bilion atau 75.99 peratus digunakan untuk perbelanjaan mengurus, manakala sebanyak RM1.121 bilion atau 81.82 peratus direkodkan untuk perbelanjaan pembangunan.
“Melalui amalan pendekatan perbelanjaan yang berhemah, prestasi kewangan kerajaan negeri mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM422.40 juta sehingga 11 November 2026,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, hasil negeri bagi 2026 turut mencatatkan prestasi positif apabila kutipan sebanyak RM2.956 bilion sehingga 11 November berjaya mengatasi sasaran yang ditetapkan bagi keseluruhan tahun.

Daripada jumlah tersebut, RM767.30 juta diperoleh menerusi hasil cukai, RM1.912 bilion daripada hasil bukan cukai, manakala RM277 juta disumbangkan melalui terimaan bukan hasil.

Image from: Kerajaan Selangor bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion, fokus pengurusan dan pembangunan

Foto: Bernama

Mengulas mengenai perkembangan ekonomi Selangor, Amirudin berkata pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sepanjang 2021 hingga 2025 memainkan peranan penting dalam memperkukuh struktur ekonomi negeri.

Sepanjang tempoh berkenaan, ekonomi Selangor berkembang sebanyak 33.94 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada RM343.5 bilion kepada RM460.1 bilion pada 2025.

Malah, sumbangan KDNK negeri dijangka terus meningkat kepada RM489 bilion pada 2026 sebelum berpotensi melepasi paras RM500 bilion tahun hadapan.

“Berdasarkan kedudukan semasa ini sumbangan KDNK Selangor 2026 diunjurkan mencecah RM489 bilion dan Insya-Allah, trajektori pertumbuhan positif ini juga akan membolehkan Selangor menjadi negeri yang pertama yang menyumbangkan KDNK bernilai melebihi setengah trilion ringgit atau RM500 bilion pada tahun 2027,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Ruwaida Md Zain)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved