Belanjawan Selangor 2027 cecah RM3.3 bilion, rizab negeri naik kepada RM5.12 bilion - Menteri Besar

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan Selangor 2027 cecah RM3.3 bilion, rizab negeri naik kepada RM5.12 bilion - Menteri Besar Image from: Belanjawan Selangor 2027 cecah RM3.3 bilion, rizab negeri naik kepada RM5.12 bilion - Menteri Besar amree13/11/2026 - 18:00 Gambar kredit Facebook Selangor Royal Office Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Rizab kewangan Selangor meningkat kepada RM5.12 bilion setakat 11 November 2026, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion bagi meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM1.9 bilion atau kira-kira 57.6% disediakan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.4 bilion atau 42.4% akan diperuntukkan bagi tujuan pembangunan.

 

Beliau menambah, belanjawan tahun depan yang bertemakan ‘Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ itu dirangka bagi membolehkan pentadbiran negeri tersebut dapat menangani pelbagai cabaran semasa dengan lebih tangkas.

 

"Bagi 2027, kerajaan negeri mengunjurkan kutipan hasil RM2.85 bilion, dengan premium tanah menjadi penyumbang terbesar berjumlah RM1.11 bilion atau 39% daripada anggaran keseluruhan," kata beliau membentangkannya di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam pada Jumaat.

 

Cukai tanah pula ujar Amirudin yang juga merupakan ADUN Sungai Tua, dijangka menyumbang RM653.82 juta atau 23%, manakala pemberian Kerajaan Persekutuan dianggarkan mencecah sebanyak RM292.70 juta atau 10%.

 

Mengulas kedudukan kewangan negeri, beliau berkata rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor merekodkan RM4.736 bilion pada 31 Disember 2025 sebelum meningkat RM384.84 juta kepada RM5.121 bilion setakat 11 November 2026.

 

Amirudin Shari_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Daripada jumlah rizab terkini itu tambah beliau, sebanyak RM1.713 bilion berada dalam Akaun Hasil Disatukan, manakala kira-kira RM3.408 bilion lagi dalam Akaun Amanah Disatukan.

 

Ujar Amirudin, pendekatan perbelanjaan berhemah turut membolehkan kerajaan negeri tersebut merekodkan lebihan kewangan mencecah sebanyak RM422.40 juta setakat 11 November 2026.

 

Dalam perkembangan sama, kutipan hasil Selangor bagi 2026 sudah melepasi sasaran apabila mencapai RM2.957 bilion setakat 11 November, merangkumi hasil cukai RM767.30 juta, hasil bukan cukai RM1.912 bilion dan terimaan bukan hasil RM277.34 juta.

 

Belanjawan 2027 itu akan digerakkan menerusi lima tonggak utama, termasuk ketangkasan menangani perubahan iklim dan pembangunan prasarana, pemerkasaan kesejahteraan rakyat serta penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam ekonomi negeri.

 

Dua lagi tonggak memberi tumpuan kepada pendidikan sepanjang hayat bagi membina generasi progresif serta pemantapan penyampaian khidmat kepada rakyat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved