Beli MyKad RM100 untuk kerja kilang

20 Oct 2026 • 3:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Beli MyKad RM100 untuk kerja kilang

JOHOR BAHRU – Hanya RM100. Itu harga dipercayai dibayar seorang lelaki warga Filipina untuk mendapatkan kad pengenalan (MyKad) bagi membolehkannya bekerja di sebuah kilang percetakan kad permainan di Kawasan Perindustrian MIEL, Pasir Gudang di sini.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 20 tahun itu terbantut apabila dia antara 36 warga asing yang dikesan disyaki menyalahgunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk mendapatkan pekerjaan menerusi Ops Jejak 1.0 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Sarinah Apisah berkata, operasi bermula pukul 10 pagi itu dilaksanakan selepas risikan selama sebulan bagi mengesan kegiatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan pekerja asing.

Menurutnya, seramai 234 individu diperiksa dalam operasi bersepadu yang membabitkan 79 anggota dari seluruh negara itu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 137 individu merupakan warganegara Malaysia, manakala 36 warga asing disyaki menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk mendapatkan pekerjaan,”katanya.

Beliau berkata, warga asing yang diperiksa terdiri daripada lapan lelaki dan 28 perempuan berusia antara 16 hingga 48 tahun yang dipercayai berasal dari Filipina dan Indonesia.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, kebanyakan mereka mendakwa dilahirkan di Labuan dan Sabah serta tinggal di kawasan sempadan, namun latar belakang sebenar mereka masih dalam siasatan.

“Pihak kami turut mengesan ada seorang lelaki Filipina mendakwa membeli MyKad dengan harga RM100. Dalam IC palsu itu dia guna nama orang lain tapi pakai gambar dia.

“Maklumat lanjut akan diperoleh menerusi sesi soal siasat bagi mengenal pasti asal-usul orang yang disyaki, termasuk sama ada benar-benar berasal dari Indonesia atau Filipina,”katanya.

Dalam operasi itu, Sarinah berkata, JPN turut berdepan kes seorang pemuda yang menggunakan MyKid untuk bekerja walaupun sudah berusia sekitar 20 tahun.

Katanya, pemuda itu memberikan alasan masih belum menukar MyKid kepada kad pengenalan kerana berdepan masalah dokumentasi.

Menurutnya, kes sedemikian memerlukan penelitian lanjut bagi mengesahkan status kewarganegaraan individu terbabit, termasuk menyemak maklumat kelahiran dan mengesan saksi yang berkaitan,”katanya.

Sarinah berkata, JPN turut mengesan dua ejen yang dipercayai membawa masuk pekerja asing berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada siasatan lanjut berhubung kemungkinan penglibatan pihak ketiga dalam kegiatan tersebut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25(1)(c), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

The post Beli MyKad RM100 untuk kerja kilang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved