Belia desa perlu berani tinggalkan zon selesa – Ahmad Zahid

1 Sep 2026 • 2:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Belia desa perlu berani tinggalkan zon selesa – Ahmad Zahid

SHAH ALAM: Belia desa dicabar supaya tidak terus kekal di zon selesa sebaliknya berani keluar menimba ilmu, pengalaman dan peluang lebih luas bagi mengubah masa depan sendiri, keluarga, komuniti dan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peluang melanjutkan pelajaran, bekerja di bandar atau membina pengalaman di luar negara perlu dimanfaatkan golongan berkenaan bagi meningkatkan keupayaan diri.

“Kalau ada peluang belajar di Kuala Lumpur, pergilah. Kalau ada pekerjaan yang baik di Johor, rebutlah peluang itu. Kalau ada kesempatan membina pengalaman di luar negara, pergilah dan lihat dunia.

“Kadang-kadang kita memang perlu keluar untuk menjadi lebih baik,” katanya di Konvensyen Belia Desa 2026 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penghijrahan anak muda untuk membina kerjaya tidak bermakna hubungan mereka dengan desa perlu terputus kerana kejayaan yang diperoleh boleh dimanfaatkan untuk membantu komuniti asal.

Katanya, seorang jurutera boleh berkongsi kepakaran, manakala usahawan pula berkeupayaan membuka pasaran kepada pengusaha dari tempat asal, selain mereka yang mempunyai modal dapat mewujudkan peluang baharu kepada komuniti desa.

“Jika perlu kembali tidak semestinya kita secara fizikal tetapi nilai yang kita bawa untuk komuniti,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mahu persepsi bahawa ekonomi desa hanya berkait dengan pertanian, penternakan, kraftangan dan homestay diubah, dengan anak muda digalakkan meneroka bidang baharu bernilai tinggi.

Antaranya semikonduktor, pembangunan perisian, operasi dron, reka bentuk digital, tenaga hijau dan automasi, selaras perubahan pasaran pekerjaan yang dipacu teknologi serta kecerdasan buatan.

Beliau berkata, TVET menjadi antara laluan penting untuk membolehkan anak muda desa membina kompetensi yang diperlukan industri, dengan ekosistem TVET di bawah KKDW kini merangkumi 281 institusi dan 588 program kemahiran, melibatkan lebih 70,000 pelajar.

Ahmad Zahid berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET dalam ekosistem itu pula sekitar 96.2 peratus, namun golongan muda perlu memastikan kemahiran yang dimiliki benar-benar mampu menyelesaikan masalah dan mencipta nilai, bukan sekadar bergantung kepada sijil.

Beliau turut menarik perhatian kepada kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun yang masih sekitar 10 peratus, berbanding kira-kira tiga peratus bagi kadar pengangguran negara secara keseluruhan.

Dalam menyimpulkan mesejnya kepada belia desa, Ahmad Zahid menggariskan empat perkara iaitu “Pergi, Kuasai, Cipta dan Kembali” yang bermaksud keluar daripada zon selesa, menguasai bidang tertentu, mencipta nilai dan akhirnya menyumbang semula asal masing-masing melalui ilmu, masa, jaringan serta peluang.-UTUSAN

The post Belia desa perlu berani tinggalkan zon selesa – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved