liza28/09/2026 - 17:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept – Golongan belia dan pencari kerja di Sabah digesa merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan menerusi kemasukan pelaburan ke negeri itu, dengan sekurang-kurangnya 80% jawatan yang terhasil disasarkan untuk diisi pekerja tempatan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata perkembangan sektor perindustrian perlu dimanfaatkan rakyat Sabah, khususnya generasi muda yang sedang membina kerjaya.
Katanya, sasaran 80% itu selaras dengan pendekatan Sabah First yang memberi penekanan kepada penyertaan lebih besar rakyat negeri berkenaan dalam sektor perindustrian.
“Hasratnya adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80% daripada peluang pekerjaan ini diisi oleh pekerja tempatan,” katanya dalam ucapan selepas merasmikan Program Kerjaya Industri Sabah 2026 (KIS 2026) di Kota Kinabalu.
Beliau berkata sektor pembuatan merupakan antara sektor strategik Sabah kerana selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sektor itu turut memberi peluang kepada rakyat tempatan mengembangkan kemahiran, menguasai teknologi dan membina kepakaran.
Tenaga kerja perlu seiring perubahan industri
Ewon berkata keperluan industri sentiasa berubah susulan perkembangan teknologi, menyebabkan kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan.
Katanya, Sabah memerlukan tenaga kerja yang bersedia mempelajari kemahiran baharu serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan di tempat kerja.
Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama lebih erat antara kerajaan, pemain industri, institusi pendidikan dan penyedia latihan perlu diwujudkan bagi memastikan program latihan yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan majikan.
Pada masa sama, pemain industri perlu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan bakat tempatan dengan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan, menyediakan latihan di tempat kerja serta memberi peluang kepada pekerja meningkatkan keupayaan masing-masing.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan peluang pekerjaan yang terhasil daripada pelaburan dapat dipadankan dengan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran bersesuaian,” katanya.
KIS 2026 hubungkan pencari kerja dengan majikan
Beliau berkata KIS 2026 yang memasuki edisi kedua menyediakan platform untuk mempertemukan majikan dengan pencari kerja, selain menghubungkan pemain industri dengan institusi pendidikan dan penyedia latihan.
Katanya, kejayaan program itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan penganjuran semata-mata, sebaliknya melalui peluang sebenar yang berjaya diperoleh rakyat Sabah termasuk temu duga, penempatan pekerjaan dan latihan.
“Saya berharap kerjasama yang terjalin sepanjang program ini akan diteruskan selepas KIS 2026 berakhir, termasuk melalui peluang temu duga, penempatan pekerjaan dan latihan,” katanya.
Ewon turut menggesa golongan belia dan pencari kerja memanfaatkan program berkenaan untuk berinteraksi dengan majikan, memahami peluang kerjaya yang tersedia serta mengenal pasti laluan latihan yang sesuai dengan kemahiran dan minat masing-masing.
Beliau berkata kerjaya dalam sektor perindustrian boleh menjadi laluan kepada rakyat Sabah untuk membina pengalaman, mengembangkan kepakaran dan meningkatkan kemahiran seiring dengan perkembangan sektor berkenaan.
KIS 2026 merupakan edisi kedua program yang bertujuan mengukuhkan hubungan antara tenaga kerja Sabah dengan peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian, sekali gus menyokong usaha menyediakan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri. - DagangNews.com






