
LAHAD DATU: Sumber asli Sabah yang kaya berpotensi dibangunkan menjadi produk bernilai tinggi yang mampu membawa nama negeri ke pasaran antarabangsa, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, kata Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB) Datuk Dr Yusof Yacob.
Beliau berkata syarikat berpangkalan di Sabah seperti Shiang Lung Supply Sdn Bhd telah menunjukkan bagaimana sumber dari darat dan laut boleh dibangunkan menjadi produk komersial yang mempunyai potensi pasaran lebih luas.
Katanya, pengembangan syarikat itu dalam pengeluaran sarang burung, ikan dan produk berasaskan marin menunjukkan bagaimana sumber tempatan dapat menyokong pertumbuhan perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Sumbernya ada, sama ada dari laut atau darat, dan terpulang kepada kita untuk membangunkannya menjadi produk yang menjana nilai,” katanya ketika mengadakan lawatan baru-baru ini ke kilang pemprosesan sarang burung Shiang Lung Supply Sdn Bhd.
Yusof berkata Shiang Lung kini menggaji kira-kira 130 pekerja dan pengembangan syarikat itu berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat Sabah, termasuk graduan dan golongan muda.
Beliau berkata produk yang membawa identiti “Produk Sabah” juga dapat membantu mempromosikan negeri itu apabila memasuki pasaran luar negara.
Katanya, akses lebih luas ke pasaran antarabangsa akan memberi peluang kepada lebih banyak syarikat tempatan membangunkan produk bernilai tambah dan mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata kerajaan negeri dan agensi berkaitan boleh menyokong syarikat berkenaan dengan memudah cara proses yang diperlukan serta menyediakan peluang mempromosikan produk Sabah melalui pameran perdagangan dalam dan luar negara. Yusof turut menggalakkan lebih ramai anak muda dan graduan Sabah menceburi bidang keusahawanan serta membangunkan perniagaan yang akhirnya mampu bersaing di luar pasaran domestik.
Sementara itu, Pengarah Urusan Shiang Lung, Kent Lim Vun Tung berkata syarikat itu komited membangunkan produk yang berkait rapat dengan sumber asli Sabah, termasuk sarang burung, perut ikan dan gamat.
“Kami berbangga menjadi syarikat berpangkalan di Sabah dan membangunkan perniagaan dengan memanfaatkan kepelbagaian serta kekayaan yang ada di Sabah,” katanya.
Kent berkata syarikat itu kini meneroka peluang dalam pasaran negara majoriti Muslim dan sedang mendapatkan pensijilan halal bagi menyokong pengembangan perniagaannya.






