SUBANG JAYA - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) USJ 8 dan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Seksyen 17 menerima kunjungan daripada Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang, Izzat Zabir Sariff bersama Skuad Anti Dadah Daerah Petaling yang diketuai Sadiq Na’aman, dalam satu program menyantuni anggota keselamatan sempena Aidilfitri.
Kunjungan itu bertujuan menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang terus bertugas ketika musim perayaan, tatkala kebanyakan masyarakat pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga.
Dalam program tersebut, rombongan menyampaikan pek ‘booster’ Ramadan dan cenderahati sebagai tanda ingatan serta sokongan moral kepada anggota yang bertugas.
**media[3468404]**
Menurut Izzat Zabir, sumbangan berkenaan bukan sekadar pemberian fizikal, sebaliknya simbol penghargaan terhadap komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kepada anggota yang bertugas sepanjang Aidilfitri.
"Sesungguhnya polis dan bomba sentiasa bersama masyarakat dan tidak dapat dipisahkan,” katanya.
Bagi anggota yang bakal bertugas sepanjang perayaan, sumbangan tersebut diharap dapat menjadi pengubat rindu, khususnya ketika berjauhan daripada keluarga demi menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan awam.



