KOTA KINABALU - Keadaan di Sabah ketika ini belum memerlukan kerajaan negeri mengambil tindakan drastik dalam berdepan isu kos sara hidup dan beban ekonomi rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membangkitkan isu keperluan tindakan segera kerajaan negeri susulan tekanan kos semasa yang dihadapi rakyat.
"Setakat ini, keadaan sekarang ini belum lagi memerlukan kerajaan negeri mengambil tindakan yang drastik untuk memberi bantuan.
"Sebarang bantuan ataupun yang diberikan melalui kerajaan negeri sekarang ini dan juga kerajaan Persekutuan sudah memadai dalam keadaan sekarang.
"Tetapi contohnya, kadar tarif elektrik ini yang disebut, kita mengambil keputusan sebelum krisis Asia Barat, kenaikan berapa peratus bil elektrik ini kerana kos operasi yang begitu tinggi dan juga rekomendasi daripada lembaga elektrik ataupun sahabat elektrik jadi itu yang berlaku," katanya pada Isnin.
Tambah beliau lagi, kerajaan negeri bagaimanapun sentiasa mengambil kira kumpulan sasar yang terkesan, termasuk golongan berpendapatan rendah serta sektor perniagaan kecil, selain terus memantau keadaan ekonomi dari semasa ke semasa.
"Bagi mereka yang di bawah paras kemiskinan ini ada rebat RM40 dan juga bagi industri kecil tadi saya sudah sebut.
"Bagaimanapun kita akan pantau keadaan ini dari masa ke masa, apa yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan bebanan rakyat termasuk semua yang disebut oleh ahli Dewan.
"Kita perhatikan dan usahakan mana yang perlu mengikut keadaan masa ataupun tekanan yang terkesan kepada kita," jelasnya.






