Selangor belum terima peruntukan kewangan penganjuran Sukma - Mohd Najwan

21 Apr 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selangor belum terima peruntukan kewangan penganjuran Sukma - Mohd Najwan
Mohd Najwan ketika sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor pada Selasa. Foto Bernama

SHAH ALAM - Selangor masih belum menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma), berbeza dengan amalan sebelum ini yang menyaksikan negeri penganjur menerima bantuan kewangan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha mendapatkan suntikan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) bagi menampung kos penganjuran yang semakin meningkat.

"Kebiasaannya negeri-negeri penganjur seperti Sarawak, Perlis dan Perak menerima peruntukan daripada kerajaan pusat, namun perkara itu belum berlaku bagi Selangor setakat ini.

"Kita sedang berunding dengan pihak KBS supaya ada sedikit bantuan atau geran daripada kerajaan Persekutuan untuk membantu kos penganjuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini susulan isu kos dan cadangan berkaitan Sukma yang turut dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Mohd Najwan menjelaskan, walaupun berdepan kekangan peruntukan, persiapan temasya tetap berjalan seperti dirancang dengan baki kira-kira tiga bulan sebelum penganjuran.

"Setakat ini, persiapan berjalan seperti biasa dan latihan atlet diteruskan kerana belum ada keputusan muktamad berhubung sebarang perubahan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan meneliti semua pandangan daripada perbahasan DUN sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersama KBS dan wakil negeri-negeri lain.

Katanya, keputusan akhir termasuk kemungkinan penangguhan atau pelaksanaan temasya akan ditentukan secara konsensus dalam mesyuarat berkenaan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan penganjuran Sukma di negeri ini ditangguhkan susulan kos tinggi serta mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan krisis di Asia Barat.

Baginda bertitah, penangguhan itu juga wajar dibuat sehingga projek Stadium Shah Alam siap sepenuhnya bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.