Sabah terima peralihan kuasa pengurusan alam sekitar November ini - Tun Musa

LocalEnvironment
23 Apr 2026 • 2:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sabah terima peralihan kuasa pengurusan alam sekitar November ini - Tun Musa
Tun Musa (kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 di Dewan Undangan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU - Sabah bakal menerima peralihan kuasa berkaitan pengurusan alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual dilaksanakan sepenuhnya pada November tahun ini, kata Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.

Beliau berkata, ia akan dimulakan dengan pengurusan buangan terjadual dan langkah itu akan disokong melalui usaha penggubalan undang-undang dan garis panduan baharu.

"Selain itu pembangunan sistem pengurusan berasaskan web serta program peningkatan kompetensi teknikal pegawai dan pihak industri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan negeri pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya. 

Tun Musa berkata, daripada konteks tadbir urus karbon, kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi peneraju pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris di Malaysia dengan memanfaatkan peluang pasaran karbon sukarela sebagai sumber pembiayaan baharu bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar.

Katanya dalam aspek tadbir urus tanah dan hartanah, kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan ke atas Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 pada tahun ini.

Beliau berkata, ia melibatkan penggubalan dua enakmen baharu iaitu Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 dan Enakmen Pengurusan Bangunan yang bertujuan meningkatkan kecekapan dalam proses pengeluaran hak milik subsidiari serta pengurusan serta penyelenggaraan bangunan di Sabah.

Selain itu, pendekatan Pemulihan Landskap Hutan (FLR) juga akan dilaksanakan meliputi kawasan tanah pertanian, hutan pengeluaran dan kawasan komuniti yang bertujuan memulihkan fungsi ekologi, meningkatkan kesejahteraan sosial serta ekonomi komuniti setempat.

Tun Musa berkata, melalui Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan negeri akan terus memperhebatkan usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, pemerkasaan tadbir urus hutan dan iklim, serta pembangunan komuniti dan inovasi hijau.

"Antara inisiatif dilaksanakan termasuk pelaksanaan Langkah Pemuliharaan Berasaskan Kawasan Lain yang Berkesan (OECM) bagi menyokong sasaran Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), pelaksanaan Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (TLAS) serta penggunaan teknologi satelit dan sistem pemerhatian bumi,” katanya.- Bernama