Tangki oksigen ‘laku keras’ gara-gara jerebu

LocalEnvironment
18 Oct 2026 • 6:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tangki oksigen ‘laku keras’ gara-gara jerebu

KUALA LUMPUR – Jerebu toksik akibat kebakaran hutan di  Indonesia melonjakkan permintaan untuk tangki oksigen dan pembersih udara di rantau ini, kata beberapa pengeluar, ketika mereka giat menyediakan peralatan pembersihan udara yang dapat menyelamatkan nyawa.

Jerebu berlarutan selama beberapa bulan menyelubungi sebahagian rantau Asia Tenggara yang memaksa sekolah ditutup dan mendorong peningkatan masalah pernafasan. 

Ramai keluarga kini membeli peranti untuk memastikan udara di dalam rumah kekal bersih.

Di AA Alive yang merupakan syarikat peralatan perubatan terletak berdekatan Kuala Lumpur, pekerjanya bekerja pada kapasiti penuh untuk menghantar tabung oksigen, dengan beberapa pegawai berkata, jualan mereka melambung tinggi.

“Kami melihat peningkatan jualan sebanyak 35 peratus disebabkan oleh jerebu.

“Apabila saya mula bekerja dalam industri ini, saya terkejut melihat begitu ramai pesakit yang memerlukan tangki oksigen,” kata ahli pasukan jualan AA Alive, Rafina Firdaus kepada AFP.

Syarikat itu membekalkan pesakit dengan tangki  dan penumpu oksigen (oxygen concentrator).

Tangki oksigen boleh beroperasi selama  tiga jam untuk  penggunaan berterusan, manakala penumpu oksigen pula boleh digunakan selama 24 jam.

Md Noor Bin Bujang, 69, yang dirawat  lebih sebulan di hospital, menerima penumpu oksigen pertamanya, Khamis lalu.

Menurutnya,  tanpa peralatan oksigen itu, dia akan mengalami sesak nafas, terutamanya ketika udara berjerebu.

Juruteknik AA Alive berumur  26 tahun, Mubassar Khan  berkata,  penapis penumpu oksigen biasanya diganti selepas 1,000 jam penggunaan, tetapi bahan pencemaran  dalam jerebu mengurangkan jangka hayatnya kepada separuh.

AA Alive kini menghantar sekitar 40 unit peralatan bantuan oksigen sewaan sehari, manakala menurut Firdaus, syarikat itu mampu memenuhi peningkatan permintaan  disebabkan oleh jerebu kerana mereka ‘sudah mengalaminya setiap tahun’.

Sementara itu, pakar-pakar memberi amaran bahawa pendedahan berpanjangan kepada  jerebu boleh menyebabkan keradangan berbahaya kepada tubuh manusia, dengan seorang pakar mengklasifikasikan situasi itu sebagai ‘ancaman kesihatan awam pelbagai sistem’.

Pakar kesihatan persekitaran di Universiti Putra Malaysia,  Profesor Juliana Jalaludin memberitahu AFP bahawa beliau bimbang generasi akan datang mungkin ‘mengalami beban penyakit pernafasan  lebih tinggi jika mereka berulang kali terdedah kepada jerebu dan pencemaran udara, terutamanya semasa kanak-kanak’. – AFP

 

The post Tangki oksigen ‘laku keras’ gara-gara jerebu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved