SHAH ALAM - Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan ketika sambutan kemerdekaan, sebaliknya lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, nilai sebenar kemerdekaan dan Jalur Gemilang terletak pada kemampuan rakyat mempertahankan sebuah negara yang membolehkan semua lapisan masyarakat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu.
"Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang mengingatkan kita tetap rakyat sebuah negara yang sama.
"Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional titah Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan agar Jalur Gemilang dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, bermula Rabu hingga 17 September depan sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-69.
Dalam majlis itu, pasukan daripada Bintara Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertanggungjawab menaikkan bendera sebagai simbol kecintaan kepada tanah air selain menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.
Tiang bendera itu mempunyai ketinggian 120 meter dengan tapak berkeluasan 9 meter X 9 meter, manakala diameternya berukuran 2.8 meter di tapak dan 1.2 meter di puncak.
Struktur tiang menggunakan material S355 iaitu keluli karbon, manakala bendera yang dikibarkan berukuran 15 meter X 30 meter dengan berat kira-kira 50 kilogram.
Bendera itu diperbuat daripada bahan knitted polymesh dengan ketebalan 120 gsm.
Mengulas lanjut, baginda turut mengingatkan semangat Hari Kemerdekaan perlu diterjemahkan dengan mengenang serta menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka berusaha menyatukan masyarakat dan merapatkan jurang perbezaan.
Dalam pada itu, baginda mahu generasi muda dididik supaya menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya berbeza.
"Pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titah Baginda.
Baginda bertitah, mengibarkan ribuan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan adalah perkara mudah, namun tugas lebih besar ialah membina Malaysia yang rakyat daripada setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakyat Malaysia.
Baginda turut menegaskan Jalur Gemilang tidak pernah membezakan kaum mahupun agama, sebaliknya menjadi simbol kebersamaan seluruh rakyat.
Justeru, Baginda menyeru rakyat menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan sebagai kesempatan memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti dan saling menghormati.
"Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan.
"Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu," titah baginda.





