
NILAI – Dahulu sekadar memasang impian untuk merasai pengalaman berlumba di velodrom selepas menyaksikannya di kaca televisyen, Adib Andhar Andan kini bukan sahaja merealisasikan impian itu, malah menutup kempen Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dengan dua pingat emas buat Sarawak.
Pelumba berusia 20 tahun itu menyempurnakan pencapaian sensasinya di Velodrom Nasional Malaysia apabila menjuarai acara pecut individu lelaki, sehari selepas mencipta sejarah menghadiahkan emas pertama Sarawak dalam acara keirin lelaki sejak acara itu dipertandingkan pada 2011.
Dalam final pecut individu hari ini, Adib menewaskan wakil Johor, Ahmad Zharif Ahmad Nazri dalam dua perlumbaan berturut-turut untuk memastikan emas menjadi miliknya, manakala Zharif terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Selangor, Yu Jing Liang yang menewaskan Muhammad Luqman Haqim Ali Badrun dari Negeri Sembilan dalam perebutan tempat ketiga.
Lebih mengagumkan, Adib masih dianggap baharu dalam disiplin trek apabila baru menjalani latihan serius sekitar tahun lalu, namun perkembangan pantasnya sudah menarik perhatian bekas Pengarah Teknikal Sukan Berbasikal Negara, John Beasley.
“Kalau bercakap mengenai prestasi, memang saya jangkakan boleh mendapat dua emas. John Beasley sendiri pernah berkata kepada saya, ‘Hi Adib, my eyes are on you”,” katanya.
Perjalanan Adib cukup unik kerana dia pada awalnya berbasikal sekadar mahu menurunkan berat badan sebelum mula jatuh cinta dengan sukan itu selepas mengayuh di sekitar Kuching ketika berusia kira-kira 16 tahun.
Namun, titik yang benar-benar mencetuskan impiannya untuk menceburi disiplin trek hadir selepas menyaksikan perlumbaan Sukma dan tertarik melihat pelumba beraksi di dalam velodrom sehingga pernah berseloroh kepada rakannya suatu hari nanti dia pula akan muncul di kaca televisyen.
“Saya memang teringin sangat hendak masuk velodrom. Ketika tengok Sukma di televisyen, saya pernah cakap kepada kawan, ‘Seronoknya berlumba di sini, nanti kau tengok aku di TV pula.’ Sekarang saya sudah berlumba di sini dan menang dua emas untuk Sarawak. Alhamdulillah,” jelasnya.
Sementara itu, acara pecut individu wanita menyaksikan pelumba Johor, Nur Alyssa Mohd Farid muncul juara selepas menewaskan Yong Ann Tung dari Selangor dalam dua perlumbaan final berturut-turut untuk membawa pulang emas.
Pingat gangsa pula menjadi milik wakil Pulau Pinang, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak yang menewaskan pelumba Kedah, Nurain Syazwiena Fahmi dalam dua perlumbaan perebutan tempat ketiga. KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Adib kini raja pecut Sarawak appeared first on Kosmo Digital.






