Jalur Gemilang bukan sekadar dikibarkan sempena sambutan kemerdekaan, sebaliknya merupakan lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, rakyat perlu berbangga kerana Jalur Gemilang menjadi simbol perpaduan nasional yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang.
Menurut baginda, semangat patriotisme tidak seharusnya hanya diterjemahkan melalui pengibaran bendera, sebaliknya dizahirkan menerusi usaha membina sebuah negara yang rakyatnya saling menghormati, menerima perbezaan dan hidup dalam keadaan bersatu padu.
“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama.
“Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional.
“Mengibarkan ribuan Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah. Namun, tugas yang jauh lebih besar ialah membina sebuah Malaysia di mana rakyat daripada setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakya Malaysia,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa semangat Hari Kemerdekaan perlu diterjemahkan dengan mengenang dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka berusaha menyatukan masyarakat serta merapatkan jurang perbezaan.
Pada masa sama, baginda mahu generasi muda dididik supaya menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya yang berbeza.
“Jalur Gemilang tidak pernah membezakan bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban atau mana-mana kaum; juga tidak membezakan Muslim, Buddha, Kristian, Hindu atau apa jua kepercayaan.
“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tida menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titahnya.

Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sebagai kesempatan untuk memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti (togetherness) dan rasa saling hormat-menghormati.
“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” tegas baginda.
Terdahulu, upacara menaikkan Jalur Gemilang dilaksanakan Bintara Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Dataran Selangor hari ini, dan disaksikan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Artikel lain: MKN beri amaran, jangan pasang Jalur Gemilang terbalik!
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyaksikan kibaran Jalur Gemilang di Tiang Bendera Negeri Selangor sehingga 17 September depan bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-69.
Sumber: FB Selangor Royal Office






