
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Jalur Gemilang bukan sekadar dikibarkan menyambut kemerdekaan sebaliknya lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sultan Sharafuddin bertitah, rakyat perlu berbangga kerana Jalur Gemilang adalah simbol perpaduan nasional yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang.
Tegas baginda, semangat patriotisme tidak seharusnya hanya diterjemahkan dengan mengibarkan bendera, sebaliknya perlu dizahirkan menerusi usaha membina sebuah negara yang rakyatnya saling menghormati, menerima perbezaan dan hidup bersatu padu.
“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama.
“Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional.
“Mengibarkan ribuan Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah. Namun, tugas yang jauh lebih besar ialah membina sebuah Malaysia di mana rakyat daripada setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakya Malaysia, ” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Baginda mengingatkan bahawa semangat Hari Kemerdekaan juga harus diterjemahkan dengan mengenang dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka telah berusaha menyatukan masyarakat dan merapatkan jurang perbezaan.
Pada masa yang sama, Baginda mahu generasi muda dididik untuk menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya yang berbeza.
“Jalur Gemilang tidak pernah membezakan bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban atau mana-mana kaum; juga tidak membezakan Muslim, Buddha, Kristian, Hindu atau apa jua kepercayaan.
“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan denga mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tida menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titahnya.
Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat supaya menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sebagai kesempatan untuk memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti (togetherness) dan rasa saling hormat-menghormati.
“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” tegas baginda.
Terdahulu, upacara menaikkan Jalur Gemilang telah berlangsung hari ini telah dilaksanakan Bintara Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Dataran Selangor sambil disaksikan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.
Sultan Sharafuddin telah berkenan kibaran Jalur Gemilang di Tiang Bendera Negeri Selangor sehingga 17 September depan bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-69. – KOSMO! ONLINE
The post Jalur Gemilang simbol perpaduan – Sultan Selangor appeared first on Kosmo Digital.






