
KULAI – Seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita warga tempatan ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah premis di Pusat Perindustrian Indahpura, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki warga Nepal berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan serta wanita warga tempat berusia 48 tahun itu ditahan pada pukul 10.45 pagi selepas menerima laporan kejadian tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati pengawal keselamatan berkenaan adalah individu yang bertanggungjawab menggantung kedua-dua bendera berkenaan manakala wanita itu berperanan menyerahkan dan mengarahkan pemasangan kedua-dua bendera itu.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 (Pindaan 2017), Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Pengawal keselamatan warga Nepal itu turut akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan kedua-dua tahanan dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 Ogos,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) diarah tutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Arahan penutupan itu dibuat sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan dan melengkapkan perakuan Aku Janji berhubung kesalahan pemasangan bendera. – KOSMO! ONLINE
The post Bendera terbalik: Lelaki Nepal, wanita tempatan ditahan appeared first on Kosmo Digital.




