Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas

18 Aug 2026 • 10:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kontinjen Selangor terus menuai pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila menambah dua pingat emas hari ini menjadikan keseluruhan 23 emas, 24 perak dan 15 gangsa setakat jam 10.30 malam ini.

Dua emas itu diraih pasukan kabaddi wanita dan kriket lelaki. Lebih menarik, kedua-dua pasukan berjaya mengubati duka dua tahun lalu apabila sekadar meraih pingat perak pada edisi SUKMA 2024 di Sarawak.

Kali ini, kedua-dua skuad itu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk melengkapkan kempen dengan pingat emas di hadapan penyokong.

Selain itu, kontinjen Selangor turut meraih tiga pingat perak menerusi sukan boling padang dengan dua perak melalui skuad triple lelaki dan fours wanita manakala satu lagi perak menerusi kem memanah dalam acara pusingan kelayakan recurve 70 meter (m) wanita menerusi Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli.

Jerusha Olive Jason pula menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 1,500 meter wanita di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kabaddi wanita tebus kecewa edisi SUKMA 2024 di Sarawak

Pasukan kabaddi wanita Selangor menebus kekecewaan dua tahun lalu di Sarawak apabila meraih pingat emas SUKMA 2026 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya.

Kejayaan itu diraih selepas Selangor menewaskan Wilayah Persekutuan 34-33 dalam aksi final sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing rapat sehingga tamat perlawanan.

Selangor mempamerkan permainan bertenaga dengan tidak memberi ruang mudah kepada lawan untuk mengutip mata, manakala penyokong kedua-dua pasukan menambah kehangatan suasana dengan saling berbalas sorakan.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas
Skuad Selangor meraikan kejayaan selepas menewaskan pasukan Wilayah Persekutuan dalam perlawanan kabaddi wanita akhir Selangor bertemu Wilayah Persekutuan pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium INSPEN, Kajang pada 18 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

Kriket lelaki raih emas, tebus kekecewaan dua tahun lalu

Pasukan kriket lelaki Selangor menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila merangkul pingat emas SUKMA 2026 selepas menewaskan Johor dalam aksi final di Kompleks Kriket Bayu Emas, Klang.

Selangor tampil dominan dengan mengumpul 211 larian berbanding 109 larian oleh Johor untuk menang dengan kelebihan 102 larian, sekali gus menamatkan saingan sebagai juara acara kriket T50.

Johor terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Kelantan meraih gangsa.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas
Pasukan kriket lelaki Selangor memenangi pingat emas ketika SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Kriket Bayuemas, Klang pada 18 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Boling padang raih dua perak

Selangor meraih dua pingat perak menerusi sukan boling padang selepas skuad triple lelaki dan fours wanita masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua.

Dalam aksi di Kompleks Tertutup Boling Padang Bayu Emas, skuad triple lelaki Selangor terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada Sabah 13-17 dalam pertarungan sengit yang berlanjutan hingga permainan terakhir.

Selangor yang dibarisi Iffat Amri Rosli, Adam Danial Mohamad, Andrian Armani Khabini dan Aiman Haziq Ahmad memberikan saingan rapat sebelum Sabah mengesahkan kemenangan untuk membawa pulang pingat emas.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas
Skuad Triples Lelaki Selangor bersama Skuad Fours Wanita selepas SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Boling Padang Bayuemas, Klang pada 18 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Selangor kemudian menambah satu lagi perak menerusi acara fours wanita selepas tewas kepada Johor 5-17 dalam aksi penentuan pingat emas.

Skuad wanita yang dibarisi Khairunisa Aisy Mohd, Puteri Aira Azman Shah, Nur Dina Najwa Tarmizi dan Damia Aleesya Mohd Irman terpaksa akur dengan kehebatan lawan dalam perlawanan penentuan tersebut.

Kem memanah raih pingat perak, pingat pertama

Kem memanah Selangor meraih pingat perak dalam acara pusingan kelayakan recurve 70 meter (m) wanita menerusi Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli.

Nur Ieka Hariesya mengumpul 643 mata, bersaing hebat dengan atlet Sarawak Joey Tan Xing Lei, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas dipisahkan menerusi kiraan markah 10 dan X.

Joey memenangi pingat emas apabila mendapat 19 mata berbanding 12 mata yang direkodkan Nur Ieka, manakala atlet Kedah Nur Auni Aqilah Andri meraih gangsa dengan kutipan 634 mata.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas
Pemanah Selangor, Nur Leka Hariesya Zainal Habsahli beraksii dalam acara Recurve 70 meter wanita pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium INSPEN, Kajang pada 18 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

Nur Ieka yang mesra disapa Ieka berkata walaupun berasa teruja untuk beraksi, dia sedikit gemuruh namun berjaya mengawal emosi pada pusingan ketiga.

Jurulatih Selangor Wan Mohd Khalmizan Wahab Aziz berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun sedikit terkilan apabila pingat emas terlepas dengan perbezaan yang tipis.

Cuaca panas tak halang Jerusha raih gangsa 1,500 meter

Perbezaan cuaca tidak menghalang pelari Selangor, Jerusha Olive Jason menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 1,500 meter wanita pada SUKMA 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Jerusha yang kini melanjutkan pengajian di Australia berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 4 minit 59.100 saat, di belakang pelari Wilayah Persekutuan dan Johor.

Atlet berkenaan mengakui memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas Malaysia selepas menjalani latihan dalam keadaan lebih sejuk di Australia.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas
Atlet Selangor Jerusha Olive Jason mendapat pingat gangsa acara 1500 meter SUKMA Selangor di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 18 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bola jaring sedia bangkit lawan Sabah esok

Pasukan bola jaring Selangor akan memberi fokus kepada aksi menentang Sabah esok dengan memastikan pemain beraksi dengan lebih tenang dan sabar bagi memburu mata.

Ketua Jurulatih Bola Jaring Selangor, Puah Pei San berkata pengalaman beraksi dalam perlawanan pertama menentang Kedah di gelanggang sendiri menjadi permulaan baik buat sebahagian besar pemain Selangor yang baharu beraksi di pentas temasya itu.

“Walaupun kita tidak berjaya mendapatkan mata pertama untuk kontinjen Selangor, saya kira pemain sudah pamerkan persembahan yang agak bagus untuk perlawanan pertama ini.

“Kita menentang Kedah yang mempunyai beberapa pemain negara dan pasukan Selangor pula merupakan ‘underdog’, tetapi pemain yang sangat muda ini dapat memberikan tentangan hebat, jadi itu sangat membanggakan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas
Aksi skuad bola jaring wanita Selangor ketika berdepan Kedah dalam pusingan pertama saingan SUKMA 2026 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 18 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Beza satu mata, jurulatih bangga pencapaian skuad kabaddi lelaki

Hanya satu mata memisahkan skuad kabaddi lelaki Selangor daripada pingat emas pada SUKMA 2026, namun kejayaan pasukan wanita merangkul emas sedikit sebanyak melengkapkan pencapaian skuad negeri dalam temasya kali ini.

Dalam aksi final acara lelaki di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, petang tadi, Selangor memberikan saingan sengit kepada Kedah sebelum beberapa kesilapan kecil pada penghujung perlawanan menyaksikan mereka terlepas emas dan membawa pulang pingat perak.

Jurulatih Selangor, S Thiagu berkata anak buahnya sudah memberikan komitmen terbaik sepanjang perlawanan, namun tekanan pada penghujung permainan menyebabkan mereka kehilangan mata penting.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor terus tuai pingat, di landasan capai 80 emas
Aksi sengit pasukan kabaddi lelaki Selangor ketika menentang Kedah dalam perlawanan akhir acara kabaddi lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, pada 18 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini dengan Selangor menyasarkan 80 pingat emas. Beberapa acara sudah memulakan saingan lebih awal.

Bagi Selangor, kejayaan bukan hanya diukur melalui kelancaran menjadi tuan rumah, tetapi juga kemampuan atlet menjadikan gelanggang sendiri sebagai medan untuk melahirkan juara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved