Bendera terbalik: MCA Perak mohon ampun kepada Sultan Nazrin

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 4:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bendera terbalik: MCA Perak mohon ampun kepada Sultan Nazrin
Gambar bendera yang dikongsikan MCA Perak menunjukkan kedua-duanya sudah diperbetulkan selepas tular gambar bendera berkenaan dipasang terbalik.

IPOH - MCA Perak memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Perak yang tular pada Jumaat.

Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden berkenaan.

Menurutnya, kesilapan pemasangan kedua-dua bendera itu tidak disengajakan dan telah diperbetulkan sebaik sahaja disedari.

"Kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan segera manakala pihak yang terlibat melakukan kesilapan tersebut telah meletakkan jawatan serta-merta.

"Tiada niat sedikit pun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera Negeri Perak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hang Soon berkata, kejadian berlaku pada pagi Jumaat apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak yang telah berusia ditugaskan memasang dan memacakkan Jalur Gemilang serta bendera Perak sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Katanya, sebaik sahaja kesilapan tersebut disedari, kedua-dua bendera berkenaan diturunkan serta-merta sebelum dikibarkan semula dengan kedudukan yang betul.

"Dalam masa sama, MCA Perak mengesahkan telah dikunjungi pegawai polis dari Balai Polis Ipoh kira-kira jam 1 petang tadi untuk menjalankan siasatan dan merakam percakapan kakitangan terbabit serta pegawai pentadbiran ibu pejabat.

"MCA Perak telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis," katanya.

Hang Soon berkata, kakitangan terbabit turut melahirkan rasa kesal berhubung kejadian itu dan secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Menurutnya, Ibu Pejabat MCA Negeri Perak menerima keputusan tersebut atas dasar menghormati keputusan peribadi kakitangan berkenaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun.

TAMAT

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved