
KOTA TINGGI: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta meletakkan papan tanda larangan mandi serta menaikkan bendera merah di kawasan Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini susulan insiden lemas melibatkan empat remaja, kelmarin.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu wajar dilaksana walaupun kawasan pantai tersebut bukan merupakan zon rekreasi awam bagi tujuan aktiviti pantai termasuk untuk mandi.
Katanya, majoriti masyarakat luar yang hadir ke kawasan pantai ini tidak maklum tentang bahaya yang menanti sekaligus menganggapnya selamat untuk dikunjungi ramai.
“Mungkin pengunjung luar pun tidak tahu, kalau kita tengok ada khemah, ‘campsite’, tetapi tiada langsung papan tanda memaklumkan ‘jangan berenang’.
“Disebabkan itu, saya minta Majlis Perbandaran Pengerang, walaupun bukan dalam bidang kuasa tetapi tolonglah letak papan tanda dan bendera merah,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni keluarga mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini hari ini.
Tambah Azalina, pihaknya turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti air ketika mengunjungi kawasan ini susulan keadaan cuaca berangin, selain ombak dan arus yang deras.
“Pantai di sepanjang kawasan Desaru merupakan lautan yang menjadi laluan perdagangan dan mempunyai keadaan arus berbeza berbanding pantai di Terengganu, Mersing atau Tioman.
“Arus dia memang kuat dan kalau kita tengok keadaan angin juga cukup kuat. Itu yang kita minta sesiapa yang mahu berkelah, buat aktiviti berkelah sahaja tidak perlu mandi,” katanya.-UTUSAN
The post PBT diminta pasang papan tanda amaran, bendera merah di Pantai Tanjung Lompat appeared first on Utusan Malaysia.






