
Ketika isu doktor kontrak mula mendapat perhatian nasional pada tahun 2021, ramai yang melihatnya sebagai pertikaian mengenai peluang pekerjaan semata-mata.
Namun hakikatnya, isu ini jauh lebih besar. Ia melibatkan hala tuju sistem kesihatan negara, pembangunan tenaga pakar dan keupayaan Malaysia mengekalkan modal insan yang telah dilatih dengan kos yang tinggi.
Pada masa itu, saya pernah menyuarakan kebimbangan bahawa kegagalan menyediakan laluan kerjaya yang jelas kepada doktor muda akan membawa tiga implikasi utama: penghijrahan doktor terlatih ke luar negara, perpindahan berterusan ke sektor swasta, dan kemerosotan minat untuk mengikuti latihan kepakaran dalam sektor awam.
Kebimbangan tersebut bukan ramalan yang dibuat tanpa asas, tetapi berpandukan realiti yang sedang dihadapi oleh ribuan doktor muda ketika itu.
Hari ini, apabila kerajaan mengumumkan penamatan sistem doktor kontrak, kita harus mengalu-alukan keputusan tersebut dan warga Kementerian Kesihatan khususnya doktor menarik nafas lega dan bersyukur dengan keputusan kerajaan ini setelah pelbagai ikhtiar, cadangan malah demonstrasi mini telah diadakan untuk mengubah polisi kontrak ini.
Namun dalam masa yang sama, kita juga perlu jujur mengakui bahawa penyelesaian ini datang selepas negara membayar harga yang agak mahal.
Sebagai rujukan, sistem doktor kontrak diperkenalkan pada Disember 2016 semasa pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Pada ketika itu, ia bertujuan menangani pertambahan graduan perubatan dan kekangan jawatan tetap dalam sektor awam. Sebagai langkah sementara, dasar tersebut mempunyai justifikasinya.
Namun masalah mula timbul apabila penyelesaian sementara itu berlanjutan hampir sedekad tanpa pelan keluar yang jelas.
Akibatnya, generasi doktor muda yang memasuki sistem selepas 2016 membesar dalam suasana ketidakpastian. Mereka menamatkan pengajian perubatan, menjalani latihan siswazah (housemanship) yang mencabar, berkhidmat ketika pandemik Covid-19, tetapi masih tidak pasti sama ada akan mempunyai masa depan dalam sistem yang mereka sendiri bantu pertahankan.
Lebih malang, ketidakpastian tersebut berlaku ketika sektor kesihatan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha melahirkan lebih ramai pakar dan memperkukuhkan kapasiti kesihatan awam negara.
Apa yang dibimbangi sebelum ini akhirnya berlaku. Ramai pegawai perubatan memilih untuk meninggalkan sektor awam.
Sebahagiannya berhijrah ke sektor swasta, manakala sebahagian lain mencari peluang di luar negara. Ada juga yang memilih meninggalkan bidang klinikal sepenuhnya.
Dalam keadaan tertentu, kerajaan bukan sahaja gagal mengekalkan tenaga kerja yang telah dilatih, malah terpaksa berdepan kos tambahan untuk melatih semula pengganti mereka.
Lebih memeritkan, bilangan graduan perubatan yang melapor diri untuk housemanship juga berkurang dengan signifikan dan meletakkan sektor perkhidmatan kesihatan awam dalam situasi yang mencabar.
Kesan jangka panjang yang lebih membimbangkan ialah terhadap pembangunan kepakaran negara. Doktor muda lazimnya mula merancang laluan kepakaran beberapa tahun selepas bergelar pegawai perubatan.
Namun sukar untuk mengharapkan seseorang merancang masa depan akademik dan profesional jika status pekerjaannya sendiri tidak terjamin. Tidak menghairankan apabila sebahagian doktor muda mengambil pendekatan menunggu, manakala sebahagian lagi memilih meninggalkan sistem sebelum sempat memasuki latihan kepakaran.
Hari ini, Malaysia masih berdepan kekurangan hampir 11,000 doktor pakar dan subpakar, sedangkan keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan semakin meningkat akibat penuaan populasi dan beban penyakit kronik yang semakin tinggi.
Dalam konteks inilah pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Belanjawan 2027 perlu dilihat sebagai satu langkah yang berani dan signifikan.
Kerajaan mengumumkan bahawa lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun 2027, manakala doktor yang menamatkan latihan siswazah selepas ini akan terus ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.
Keputusan ini sememangnya wajar dipuji. Ia menjawab tuntutan yang telah berlarutan selama bertahun-tahun dan memberi isyarat bahawa kerajaan akhirnya mengiktiraf kepentingan kestabilan kerjaya dalam memastikan kelangsungan sistem kesihatan negara.
Bagi ramai doktor muda, pengumuman ini membawa kelegaan yang sudah lama dinantikan. Namun pujian yang diberikan tidak seharusnya menghalang kita daripada membuat penilaian yang jujur terhadap kelemahan lampau.
Hakikatnya, isu doktor kontrak tidak sepatutnya mengambil masa hampir sedekad untuk diselesaikan. Jika laluan kerjaya yang lebih mampan diwujudkan lebih awal, mungkin negara tidak akan kehilangan sebahagian tenaga kerja berpengalaman yang telah memilih untuk meninggalkan sektor awam.
Begitu juga, penamatan sistem doktor kontrak tidak secara automatik menyelesaikan masalah pengekalan doktor. Seseorang doktor mungkin memperoleh jawatan tetap, tetapi jika berdepan beban kerja yang melampau, kekurangan tenaga sokongan, peluang latihan yang terhad dan kemudahan kerja yang tidak memuaskan, masalah attrition tetap akan berterusan.
Atas sebab itu, kejayaan sebenar dasar baharu ini tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah doktor yang menerima jawatan tetap.
Sebaliknya, ia perlu dinilai melalui kemampuan negara mengekalkan mereka dalam sistem untuk tempoh yang panjang, menggalakkan mereka mengikuti latihan kepakaran dan mewujudkan persekitaran kerja yang membolehkan mereka berkembang sebagai profesional.
Penamatan sistem doktor kontrak seharusnya menjadi permulaan kepada reformasi sumber manusia kesihatan yang lebih menyeluruh. Negara memerlukan perancangan tenaga kerja yang lebih strategik, unjuran keperluan pakar yang lebih tepat, kapasiti latihan kepakaran yang mencukupi, serta dasar kebajikan yang mampu memastikan sektor awam kekal kompetitif.
Sistem doktor kontrak memberikan satu pengajaran besar kepada negara. Dalam sektor kesihatan, isu sumber manusia tidak boleh dilihat semata-mata sebagai soal jawatan dan gaji. Ia melibatkan keyakinan, motivasi dan rasa dihargai dalam kalangan petugas yang memikul tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat.
Justeru, keputusan Kerajaan Madani untuk menamatkan sistem doktor kontrak sememangnya merupakan langkah yang tepat dan wajar diberikan penghargaan.
Namun yang lebih penting ialah memastikan kesilapan yang sama tidak berulang dalam bentuk yang berbeza. Menawarkan jawatan tetap adalah langkah pertama.
Mengekalkan doktor, melahirkan lebih ramai pakar dan membina sistem kesihatan yang mampan merupakan cabaran yang jauh lebih besar. Jika pengajaran daripada sedekad lalu benar-benar diambil iktibar, maka pengumuman ini bukan sekadar penamat kepada episod doktor kontrak, tetapi permulaan kepada bab baharu yang lebih adil dan lebih mampan untuk generasi doktor muda Malaysia.
Saya ‘salut’ kepada kegigihan dan kesabaran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang begitu peka dan prihatin terhadap isu doktor kontrak ini dan sentiasa komited terhadap usaha dialog dan cadangan pelbagai pihak mewakili para pengamal perubatan untuk mencari penyelesaian yang terbaik.
Saya amat berharap kepimpinan Kerajaan Madani akan terus meniliti isu-isu berkaitan secara proaktif dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan data-data yang sahih dalam memastikan kita tidak tersilap langkah dalam memutuskan sesuatu polisi yang besar demi kemaslahatan dan kemajuan perkhidmatan kesihatan negara yang amat kita cintai ini.
Prof. Madya Dr. Muhamad Yusri Musa merupakan Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Otorinolaringologi Jabatan Perubatan Klinikal Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
The post Berakhirnya sistem doktor kontrak appeared first on Kosmo Online.





