KULAI – Tindakan melibas parang ke arah kenderaan lain kerana tidak berpuas hati selepas diberikan lampu tinggi akibat memotong secara berbahaya membawa padah apabila dua lelaki diberkas di Forest City, Gelang Patah pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, dua lelaki berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan susulan siasatan yang dijalankan selepas pihak polis menerima laporan pada jam 8.04 pagi, Ahad.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek memandu secara berbahaya dan mengugut menggunakan senjata dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.50 pagi di jejambat (flyover) Senai menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
"Siasatan mendapati kejadian melibatkan empat lelaki yang menaiki kereta jenis Kia bernombor pendaftaran PMD 5686.
"Suspek tidak berpuas hati selepas pengadu memberikan lampu tinggi secara berterusan berikutan tindakannya memotong masuk ke lorong kanan secara mengejut pada kelajuan perlahan sehingga hampir melanggar kereta pengadu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, ketika berada di jejambat Senai, suspek bertindak memotong dan berhenti secara mengejut di hadapan kereta pengadu.
"Seorang daripada suspek kemudian keluar dari kenderaan sambil membawa parang dan mengarahkan pengadu keluar dari keretanya.
"Suspek turut melibas parang ke bahagian hadapan bonet kereta pengadu sehingga meninggalkan kesan cat yang terkopek," katanya.
Seng Lee berkata, tangkapan itu turut membawa kepada rampasan kunci kereta, telefon bimbit, pakaian, parang berserta sarung dan hulu berwarna hitam sepanjang 30 sentimeter yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
"Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah," katanya.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan individu lain yang terlibat.
Katanya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat pada Isnin.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya.



![[VIDEO] Berang kena lampu tinggi, lelaki mengamuk libas parang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/Untitled-design-2026-08-03T103537.559.png)


![[VIDEO] Polis tahan dua lelaki lari pemeriksaan, rempuh kereta peronda](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/mpv-polis-1024x768.jpeg)