![Image from: [VIDEO] Berang kena lampu tinggi, lelaki mengamuk libas parang](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/Untitled-design-2026-08-03T103537.559.png)
KULAI – Tindakan seorang pemandu memberikan lampu tinggi kepada sebuah kereta yang bergerak perlahan di lorong kanan bertukar menjadi detik mencemaskan apabila dia diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di jejambat Senai menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Kia bersama tiga lagi lelaki dipercayai bertindak memotong kenderaan mangsa sebelum membrek secara mengejut di hadapan kereta mangsa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, salah seorang suspek kemudian keluar dari kereta sambil membawa parang sebelum menjerit dan mengarahkan mangsa keluar dari kenderaannya.
“Suspek bertindak melibas parang ke bahagian hadapan bonet kereta mangsa sehingga menyebabkan cat kenderaan itu terkopek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa memberikan lampu tinggi secara berterusan selepas kereta suspek tiba-tiba memasuki lorong kanan dengan kelajuan perlahan sehingga hampir menyebabkan pelanggaran.
Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan dua lelaki tempatan berbangsa India di beberapa lokasi berasingan kira-kira pukul 7.10 malam pada hari yang sama.
Polis turut merampas sebuah kunci kereta Kia, sebuah telefon bimbit, pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, selain sebilah parang sepanjang 30 sentimeter bersama sarungnya yang dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.
Tambah beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan individu lain yang dipercayai turut terlibat.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kulai hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, khianat serta memandu secara berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Harinnath Ravi di talian 017-5005731 atau IPD Kulai di talian 07-6637222 bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Berang kena lampu tinggi, lelaki mengamuk libas parang appeared first on Kosmo Digital.






