
SHAH ALAM, 3 OGOS: Tindakan dua lelaki melibas parang ke arah sebuah kereta selepas tidak berpuas hati diberi lampu tinggi oleh pemandu lain membawa padah apabila mereka ditahan polis di Forest City, Gelang Patah semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 30 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 8.04 pagi semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian memandu secara berbahaya dan ugutan menggunakan senjata berlaku kira-kira jam 5.50 pagi di jambatan bertingkat Senai menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Menurutnya, kejadian membabitkan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta.
"Ia berpunca akibat rasa tidak puas hati suspek selepas pengadu memberikan lampu tinggi secara berterusan berikutan tindakannya yang memotong masuk ke lorong kanan secara mengejut dengan kelajuan perlahan sehingga hampir melanggar kereta pengadu," katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Harian Metro.
Tan berkata, ketika berada di jambatan bertingkat berkenaan, suspek bertindak memotong kereta pengadu sebelum berhenti secara mengejut di hadapan kenderaan mangsa.
Katanya, seorang daripada suspek kemudian keluar dari kenderaan sambil membawa parang, menjerit dan mengarahkan pengadu keluar dari kereta.
"Suspek turut melibas parang ke bahagian hadapan bonet kereta pengadu sehingga menyebabkan kesan cat terkopek," katanya.
Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan dua daripada empat suspek kira-kira jam 7.10 malam pada hari sama serta merampas beberapa barangan termasuk sebilah parang berukuran 30 sentimeter yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, manakala siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan individu lain yang terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.






