
Berang Diganggu Ketika Main "Game", Lelaki Tergamak Bunuh Anak Saudara
Jawa Barat -- Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas ditikam sebanyak 32 kali dalam kejadian di Jatirangga, Kota Bekasi pada Rabu.
Memetik laporan Tribun News, mangsa telah ditikam oleh bapa saudaranya sendiri yang berusia 18 tahun.
Pihak polis mendedahkan bahawa motif pembunuhan itu kerana suspek berang diganggu oleh mangsa ketika bermain permainan Mobile Legends.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Bandar Bekasi, Pesuruhjaya Andi Muhammad Iqbal berkata keputusan bedah siasat menunjukkan mangsa mempunyai berpuluh-puluh luka tikaman dan luka di pelbagai bahagian badan.
"Terdapat kira-kira 20 luka tikaman di muka, 12 luka di badan," katanya.
Berang mangsa panjat atas belakang
Ujarnya lagi, suspek mengaku berasa jengkel apabila mangsa yang masih kecil memanjat di belakangnya ketika dia sedang leka bermain permainan.
"Mangsa memanjat belakang suspek ketika dia sedang bermain permainan dan menyebabkan dia beremosi," ujarnya.
Dalam keadaan marah, pelaku kemudian pergi ke dapur untuk mengambil pisau, sebelum menyerang mangsa dengan kejam.
"Mula-mula dia serang kepala mangsa, kemudian diteruskan ke bahagian badan yang lain," kata Iqbal lagi.

Kejadian itu mula disedari oleh nenek mangsa yang baru pulang dari berniaga.
Sebaik tiba di rumah, dia mendapati cucunya dalam keadaan berlumuran darah.
Manakala anak lelakinya iaitu suspek pula terbaring di atas tanah dengan beberapa kesan luka,
Panik melihat keadaan itu, wanita tersebut mengambil pisau yang berada di tangan suspek dan mencucinya.
Pada awal siasatan, polis telah menyiasat kemungkinan penglibatan nenek mangsa.
Pun begitu, selepas menjalankan beberapa siri pemeriksaan dan pengumpulan bukti, fokus siasatan tertumpu kepada anaknya sebagai suspek utama.
Masalah mental
Polis turut mendedahkan bahawa pelaku mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan telah menjalani rawatan perubatan secara berkala.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 10 saksi telah disoal siasat untuk membantu siasatan kes tersebut.
Baca juga:
Pesara Tentera Tikam Diri Selepas Tikam Isteri Sampai Mati
Suspek Tikam Leher Wanita Direman Tujuh Hari
Pegawai polis juga menemui beberapa bukti termasuk dua pisau dan pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian.
Kes itu masih lagi disiasat dan suspek sedang menjalani prosiding undang-undang di balai polis Metro Kota Bekasi.




