
PETALING JAYA – Tetamu kenduri majlis perkahwinan Bella Astillah dan Syed Saddiq (BASS) sanggup beratur hampir tiga kilometer seawal pagi hari ini bagi menghadiri majlis berkenaan di Muar, Johor.
Mereka sanggup beratur dalam keadaan panas di tepi jalan sehingga ke hadapan rumah penduduk sekitar demi menjadi orang terawal yang masuk ke dalam dewan sedangkan majlis dijadualkan bermula 2 petang ini. Situasi itu mengundang perhatian pengguna media sosial apabila orang ramai dilihat sanggup menunggu lama demi menghadiri majlis pasangan berkenaan.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @sooyyyyyyaa, orang ramai dilihat beratur panjang untuk menghadiri majlis berkenaan sehingga ada yang mengakui tidak sanggup menunggu lama.
“Korang start (mula) beratur pukul berapa la eh? I (saya) tumpang lalu jela ye, tak sanggup nak beratur,” katanya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang terkejut melihat panjangnya barisan tetamu, malah ada yang berkongsi pengalaman ahli keluarga mereka yang turut menghadiri majlis berkenaan.
“Adik aku duduk Muar, jadi dia pun pergi wedding (majlis perkahwinan) BASS sebab tak jauh dari rumah dia. Ni dia baru update (kemas kini), dewan tak buka lagi tapi dah ramai orang beratur sampai belakang dewan,” komen seorang pengguna.
“Panjang oii beratur. Dianggarkan 10 ribu orang ramai tu,” komen susant20633.
“Harap-harap line up (barisan) ini tak sampai lah jambatan Muar eh. Risau sampai jambatan ke-2 tu. Hehehe,” kata dilahmohd8581.
“Yang wife-wife (isteri) ni, macam mana ya pujuk husband (suami) korang nak beratur panjang?” tulis seorang lagi pengguna.
Dalam pada itu, orang ramai turut mendoakan agar majlis berkenaan berjalan lancar dan semua tetamu dapat menikmati kemeriahan hari bahagia pasangan itu.
“Semoga semua enjoy (menikmati) hari ini dan dipermudahkan, dilancarkan semua majlis BASS,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Beratur tiga kilometer mahu hadir kenduri BASS appeared first on Kosmo Online.






