
JAKARTA – Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, dinobatkan sebagai juara Kejohanan Badminton Masters Indonesia selepas pasangan lawan menarik diri daripada aksi final yang dijadual berlangsung di Istora Senayan, hari ini.
Perkembangan itu disahkan menerusi kemas kini rasmi jadual perlawanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebentar tadi, sekali gus mengesahkan kemenangan berpihak kepada gandingan Malaysia tersebut.
Kejayaan berkenaan turut menyaksikan pasangan ranking kedua dunia itu meraih gelaran sulung musim 2026, sekali gus meneruskan rentak cemerlang mereka di pentas antarabangsa.
Gelar ketujuh sejak bergandingan
Untuk rekod, ia merupakan gelaran ketujuh yang berjaya diraih Pearly-Thinaah sejak mula bergandingan dalam siri jelajah BWF pada 2021.
Dalam pada itu, setakat ini tiada penjelasan rasmi diberikan berhubung keputusan pasangan Jepun, Arisa Igarashi dan Miyu Takahashi, yang menarik diri daripada perlawanan akhir kejohanan bertaraf Super 500 tersebut. – The Malaysian Update
The post Beregu wanita Negara Rangkul Kejuaraan Masters Indonesia appeared first on The Malaysian Update.
