Tang Jie–Ee Wei raih pujian, pilih Bahasa Melayu ketika wawancara bahasa Inggeris di Istora

FootballSports
25 Jan 2026 • 7:23 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

JAKARTA – Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bukan sahaja mencuri tumpuan dengan aksi cemerlang di gelanggang, malah turut meraih pujian ramai kerana sikap mereka sejurus tamat perlawanan.

Selesai menjulang gelaran juara Masters Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, pasangan negara itu ditemu bual oleh pengacara dalam bahasa Inggeris. Namun menariknya, kedua-duanya tenang memilih untuk menjawab dalam Bahasa Melayu, sekali gus menampakkan keyakinan membawa identiti bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa.

Ee Wei dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada penyokong yang hadir di Istora serta peminat dari Indonesia dan Malaysia yang tidak putus-putus memberi sokongan.

Tindakan spontan itu nyata menyentuh hati ramai. Di media sosial, warganet memuji sikap mereka yang tetap mengutamakan Bahasa Melayu meskipun diajukan soalan dalam bahasa Inggeris, malah ada yang berseloroh, “Pengacara tanya English, pemain Malaysia jawab Bahasa Melayu… terbaik!”

Tidak kurang juga yang menyifatkan momen itu sebagai simbol jati diri negara, dengan komen seperti “Mereka terima Bahasa Melayu… we all Malaysia.”

Bangkit dari ketinggalan, cipta sejarah tersendiri

Terdahulu, Tang Jie–Ee Wei mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum mengesahkan kemenangan.

Kejayaan di Istora Senayan itu turut melakar sejarah tersendiri apabila pasangan ranking keempat dunia berkenaan muncul sebagai beregu campuran pertama Malaysia yang berjaya merangkul gelaran di kejohanan tersebut.

Bukan saja juara di gelanggang, malah menang dari segi adab dan identiti, sebab itu ramai kata, inilah juara sebenar hati rakyat.  – The Malaysian Update

The post Tang Jie–Ee Wei raih pujian, pilih Bahasa Melayu ketika wawancara bahasa Inggeris di Istora appeared first on The Malaysian Update.