
Kota Kinabalu: Dua ahli terapi urut masing-masing didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana bergaduh di tempat awam.
Sonny Edip, 54, dan Norziana Abdillah, 27, masing-masing mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan bergaduh di tempat awam di Madam A Reflexology, Kampung Air, di sini, kira-kira jam 7 malam pada 4 September lalu.
Kedua-duanya didenda RM600 atau dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut pihak pendakwaan, Sonny menegur Norziana kerana merokok di premis berkenaan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Norziana membaling kerusi ke arah Sonny yang kemudian bertindak balas dengan memukul kepala wanita itu.
Kedua-duanya kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Sonny mengadu mengalami kesakitan pada pergelangan tangan kanannya manakala Norziana melaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Peguam Carmen Khoo yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan dengan menyatakan bahawa mereka sudah menyesali perbuatan itu dan kini kembali berbaik.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Hafizah Anggu mengendalikan pendakwaan.



![[KEMASKINI] Identiti dua wanita rentung dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/rentung-kereta-terbakar-1024x768.jpeg)


