![Image from: [KEMASKINI] Identiti dua wanita rentung dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/rentung-kereta-terbakar-1024x768.jpeg)
BATU PAHAT – Identiti dua wanita yang rentung selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, di sini petang tadi, dikenal pasti.
Mereka dikenal pasti sebagai Siti Nurmaisarah Abdul Jali dan Siti Nur Batrisya Moha Khalid, masing-masing berusia 22 tahun, dipercayai berasal dari Kampung Parit Sagil, Ayer Hitam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans sebelum mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.21 petang.
Katanya, seramai 16 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati berlaku kebakaran sebuah kereta akibat kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan, iaitu Perodua Myvi dan sebuah lori.
“Kereta Perodua Myvi terbakar dengan dua mangsa didapati tersepit di dalamnya. Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi memadamkan kebakaran sebelum mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post [KEMASKINI] Identiti dua wanita rentung dikenal pasti appeared first on Kosmo Online.






