Bergelar OKU bukan titik terendah Nadiah

29 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bergelar OKU bukan titik terendah Nadiah

REMBAU – Status orang kurang upaya (OKU) bukan alasan untuk ibu dua anak, Nadiah Abd Malek, 38, menjadikan kekurangan diri­nya sebagai titik terendah dalam kehidupan, sebaliknya pencetus semangat mencari pendapatan sampingan.

Nadiah yang memiliki Diploma Perakaunan dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi itu berkata, dia mula berniaga nasi kukus ayam berempah secara kecil-kecilan sejak tiga bulan lalu membantu suami yang merupakan penjual madu.

“Memang saya minat berniaga. Walaupun bergelar OKU sejak November tahun lalu, ia bukan penghalang. Sambutan diterima setakat ini agak menggalakkan, nasi terjual antara 10 hingga 15 pek sehari,” katanya ketika ditemui di sini.

Berkongsi kisah bergelar OKU, Nadiah memberitahu, pada mulanya dia menyangka masalah yang dialami pada telinga kiri disebabkan badan panas, namun sangkaannya meleset sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban sebelum dirujuk ke Rembau.

“Disebabkan kencing manis serta darah tinggi, badan saya tidak dapat melawan kuman dengan baik. Jangkitan itu hampir ke selaput otak dan saya terpaksa menjalani pembedahan membuang gegendang telinga serta tulang-tulang alat pende­ngaran di sebelah kiri.

“Akibatnya, telinga kiri saya tidak lagi dapat mendengar. ­Untuk letak alat pendengaran pun dah tak sesuai. Manakala pendengaran sebelah kanan pula masih boleh diselamatkan tetapi hanya sekitar 70 peratus,” kata­nya.

Dia yang pernah menjalani pembedahan akibat slip disc berkata, berikutan itu dia perlu lebih berhati-hati terutama apabila demam atau selesema, selain perlu mengawal paras gula dan tekanan darah.

“Jangan jadikan status OKU itu sebagai titik terendah dalam hidup kita. Zaman sekarang, golongan OKU atau sebaliknya juga perlu berusaha mencari pendapatan lebih untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang mempunyai anak berusia 11 dan tiga tahun.

The post Bergelar OKU bukan titik terendah Nadiah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved