Beri alasan kemas 'homestay', suami orang dicekup khalwat dengan janda jam 2 pagi

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 4:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Alasan konon datang mengemas rumah pada jam 2 pagi memakan diri apabila seorang lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat bersama seorang janda di rumah kosong miliknya.

PONTIAN – Alasan konon datang mengemas rumah pada jam 2 pagi memakan diri apabila seorang lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat bersama seorang janda di rumah kosong miliknya di sini.

Jurucakap Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, serbuan pada kira-kira jam 2 pagi, Selasa itu dilakukan penguat kuasa agama selepas menerima aduan awam.

Katanya sebaik tiba di lokasi, anggota penguat kuasa menemui sebuah kereta dan motosikal berhampiran rumah berkenaan.

“Bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri, dua anggota ditugaskan mengawal bahagian belakang rumah manakala anggota lain mengetuk pintu hadapan yang berkunci serta bergril.

“Bagaimanapun, pintu tidak dibuka walaupun diketuk hampir sejam sebelum anggota bertindak memotong mangga gril menggunakan alat pemotong besi,” katanya.

Menurut JAINJ, tidak lama kemudian seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju membuka pintu dari dalam rumah.

“Pemeriksaan lanjut di ruang dalam rumah mendapati seorang wanita berusia lingkungan 30-an berada di bilik utama.

“Keadaan bilik mencurigakan apabila dua katil bujang dirapatkan seperti katil kelamin selain cadar dan bantal tidak tersusun,” katanya.

Tambahnya, hasil soal siasat mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri atau mempunyai hubungan mahram.

“Lelaki berusia 30-an itu dipercayai mempunyai isteri dan anak, manakala wanita terbabit pula berstatus janda. Rumah berkenaan difahamkan milik lelaki itu yang jarang didiami dan hanya digunakan sekali-sekala.

“Ketika ditanya, lelaki berkenaan mendakwa dia hanya menghantar wanita itu yang kononnya menyewa rumah berkenaan sebagai homestay selain datang untuk mengemas rumah,” katanya.

Bagaimanapun, alasan itu diragui memandangkan kejadian berlaku pada awal pagi.

“Pengadu turut memaklumkan kejadian berkenaan dipercayai bukan kali pertama berlaku dan pasangan terbabit disyaki merancang pertemuan mereka,” katanya.

Kedua-duanya kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis sebelum disiasat mengikut Seksyen 27 kerana disyaki berkhalwat.