Beri Laluan Kepada Ambulans, Anwar Terima Pujian Netizen

12 Dec 2022 • 7:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar oleh Alif Omar

KUALA LUMPUR – Keprihatinan kenderaan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan laluan kepada ambulans yang sedang membawa pesakit ketika kesesakan jalan raya, menerima pujian di media sosial.

Perkara itu dipercayai dirakam melalui kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya yang kebetulan berada di lokasi sama.

Rakaman itu turut dikongsi seorang pengguna TikTok bernama BengkelMinda, sebelum tular di media sosial berkenaan.

Menerusi kamera itu, kejadian dirakam pada 9 Disember lalu, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenarnya.

Video berdurasi 59 saat dikongsikan BengkelMinda itu, menerima hampir 212,600 tontonan dengan 10,900 tanda suka, 947 komen dan dikongsikan sebanyak 641 kali setakat jam 8 malam.

Dalam video tersebut, kelihatan polis pengiring Anwar bukan sahaja memberikan laluan, malah turut ‘membuka jalan’ supaya ambulans tersebut dapat bergerak lancar.

Tindakan tersebut mendapat pujian dan iringan doa daripada pengguna TikTok kepada Perdana Menteri, antaranya pengguna dikenali @CEO of Isteri Celah Dapur.

“Ya Allah, rahmatilah Datuk Seri Anwar Ibrahim…lindungilah dia dari fitnah manusia dan dunia. Aamin yarabbal Alamin,” katanya.

Menurut @zulariffin81 pula, tindakan Perdana Menteri Ke-10 itu amat mulia kerana lebih mementingkan nyawa rakyat daripada jawatannya.

“Ya Allah mulianya hati PM (Perdana Menteri) Ke-10 ini. Pentingkan nyawa dari kejar jawatannya. Bersyukur dapat PM macam ini. Faham dengan keadaan semasa yang memerlukan segera,” tulisnya.

Sementara itu, @Raimy Hany berkata jarang untuk rakyat lihat pemimpin Malaysia sebelumnya buat macam ini, lebih-lebih lagi seorang PM.

“He’s getting better and better everyday (Beliau semakin hari semakin bagus),” ujarnya. - Getaran, 12 Disember 2022

Menerusi laporan The Vibes, seorang pegawai Anwar ketika dihubungi mengesahkan Perdana Menteri berada di dalam kenderaan itu ketika kejadian. – Getaran, 12 Disember 2022