Beri mandat sepenuhnya kepada UMNO Selangor tentukan rakan kerjasama PRU16

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Beri mandat sepenuhnya kepada UMNO Selangor tentukan rakan kerjasama PRU16
Noorazli

KUALA LUMPUR - UMNO Selangor perlu diberi mandat sepenuhnya untuk berunding bagi menentukan rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Jurucakap Selangor, Datuk Noorazli Said berkata, langkah ini penting bagi memastikan kerjasama yang akan dibentuk nanti benar-benar memberi manfaat kepada kedua-dua belah.

Ini kerana katanya, UMNO negeri berkenaan tidak mahu mengulangi ‘sejarah’ kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu yang menyaksikan parti tersebut terpinggir.

“Saya minta bagi pihak UMNO Selangor berilah mandat sepenuhnya kepada Pengerusi kami (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) untuk beliau berunding dengan siapa Selangor harus bersama (dalam PRU).

“Betul Datuk Seri sebut, lain padang lain belalang. Satu formula tidak boleh menyelesaikan semua masalah. Jadi, hari ini saya minta bagi pihak UMNO Selangor...berilah mandat seluasnya kepada pengerusi kami untuk tentukan rakan strategik pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Pada PRN Selangor 2023 lalu, UMNO Selangor hanya memenangi dua daripada 12 kerusi yang ditandingi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.

Dalam pada itu, Noorazli yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepang turut mendedahkan ‘keperitan’ parti ketika menjalin kerjasama dengan PH pada pilihan raya sebelum ini.

Menurutnya, antara perkara yang memeritkan apabila terpaksa merayu kepada penyokong akar umbi untuk mengundi calon PH.

“Kami merayu orang-orang UMNO untuk memangkah calon PH. Menangis ibu-ibu ini yang sekian lama memangkah BN tapi perlu pangkah PH. Kita akur ketika itu untuk membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Namun beliau berkata, PH tidak melihat pengorbanan tersebut dan atas sebab itulah UMNO Selangor memilih untuk menolak segala jawatan yang ditawarkan termasuk pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ujarnya, ketetapan itu diambil bagi atas dasar prinsip parti yang tidak mahu dianggap sebagai pelengkap kepada kerajaan diterajui PH di negeri berkenaan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved