Beri PN Kuasa Dulu, Baru Umum Calon PM – Mursyidul Am PAS

LocalPolitics
29 Jul 2025 • 2:17 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sudah menjadi lumrah sebagai Perdana Menteri, pasti ada pihak yang menyokong dan menentang pemimpin yang dipilih melalui sistem demokrasi itu.

Seperti Sabtu lalu (26 Julai), satu perhimpunan anjuran parti pembangkang telah diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletak jawatan.

Perhimpunan Turun Anwar itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat di mana ada yang mempersoal sekiranya Anwar tidak menjadi perdana menteri siapakah calon yang layak menggantikannya.

PN akan umum calon PM selepas berjaya ambil alih kuasa

Terbaharu, Perikatan Nasional (PN) sebagai pihak pembangkang berkata pihaknya akan memutuskan siapa yang bakal menjadi calon perdana menteri hanya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran persekutuan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu sendiri mempunyai beberapa pemimpin berwibawa yang layak menjadi perdana menteri.

Ujarnya, bagaimanapun PAS tidak akan menamakan sesiapa sebagai ‘poster boy’ buat masa ini, lapor Utusan Malaysia dipetik FMT.

“Memang tidak nampak lagi ‘poster boy’ tapi beri kuasa dulu, kita ketengahkan calon dan memerintah jauh lebih baik daripada kerajaan sekarang,” katanya.

Hashim ambil contoh zaman kepimpinan Allahyarham Nik Aziz

Hashim yang mengambil contoh kepimpinan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ramai tidak yakin dengan kebolehan beliau semasa PAS mengambil alih Kelantan pada 1990.

Namun, Tuan Guru Nik Aziz kemudiannya memimpin negeri yang turut digelar Serambi Mekah itu selama lebih dua dekad dengan pencapaian yang cukup memberangsangkan.

“Bukan profesional sahaja yang layak diketengahkan, sebaliknya ulama juga mampu mengetuai kerajaan dengan cukup baik. Sama juga seperti sekarang,” katanya.

Terdahulu, perhimpunan Turun Anwar anjuran Pemuda PAS itu menuntut Anwar meletakkan jawatan atas isu kos sara hidup dan ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi semasa.

Menurut pihak berkuasa, seramai kira-kira 18,000 peserta yang menyertai demo tersebut, namun lidah rasmi PAS, Harakah Daily sebelum itu menganggarkan sasaran awal adalah 300,000 peserta.

Source: