
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Keadaan di Gaza kini semakin meruncing susulan penduduknya yang mengalami kebuluran akibat bekalan makanan yang disekat di sempadan oleh tentera Israel.
Sekitar Mei lalu, Amnesty International memaklumkan bahawa tiada lagi bekalan makanan di wilayah itu.
Sejurus itu, kumpulan bantuan memberi amaran bahawa rakyat Gaza akan terkorban akibat kebuluran.
Dalam berita terkini, AlJazeera memetik Kementerian Kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 147 penduduk Gaza dicatatkan telah meninggal dunia akibat kebuluran sejak Oktober 2023, 88 daripada mereka merupakan kanak-kanak.
Baca Artikel Berkaitan: Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran
Kematian Akibat Kebuluran Adalah Sangat Kejam & Menyiksakan
Semua orang tahu bahawa kebuluran berlaku apabila seseorang manusia berada dalam keadaan yang lapar buat jangka masa panjang.
Namun apa yang terjadi pada tubuh badan sebenarnya adalah lebih memeritkan dan merupakan satu penyeksaan.
Merujuk kepada artikel oleh AlJazeera, kebuluran kebiasaannya sehingga menyebabkan kematian.
Pakar pediatrik dan neurologi Dr Omar Abdel-Mannan yang menjadi sukarela di Gaza berkata kematian akibat kebuluran adalah sangat kejam dan perlahan.
Para penyelidik tidak dapat benar-benar mengenal pasti berapa lama kebuluran berlaku sebelum mengambil nyawa seseorang. Bagaimanapun, badan manusia dipercayai boleh berfungsi sehingga tiga minggu tanpa nutrisi.
Terdapat Tiga Peringkat Kebuluran Dengan Tubuh Badan Mendapatkan Tenaga Dari Sumber Berbeza
Kebuluran boleh dibahagikan kepada tiga peringkat, dengan yang pertama berlaku apabila seseorang tidak makan.
Pada mulanya, tubuh badan akan mendapatkan tenaga daripada glikogen yang disimpan di dalam hati.
Di peringkat kedua, tubuh badan yang tidak mendapat nutrisi buat tempoh masa panjang akan menggunakan lemak terkumpul sebagai tenaga.
Namun sebaik sahaja lemak terkumpul telah habis digunakan, badan akan mendapatkan tenaga daripada tulang dan otot di peringkat ketiga yang seringkali membawa maut.
Ini menjadikan tubuh badan mengecut sehingga seseorang itu menjadi begitu kurus dengan pipi yang kelihatan berongga.

Fungsi Tubuh Badan Menjadi Perlahan Kerana Tenaga Diambil Dari Organ
Individu yang mengalami kebuluran juga mengalami kerengsaan, perubahan mood dan kesukaran untuk menumpukan perhatian memandangkan otak telah kekurangan tenaga untuk berfungsi.
“Secara ringkasnya, (fungsi) tubuh badan menjadi perlahan sementara ia mengambil tenaga dari organ lain untuk mengekalkan fungsi otak dan jantung,” jelas Abdel-Mannan.
Tidak lama kemudian, fungsi jantung pula akan terkesan dengan penurunan tekanan darah dan nadi. Malah, berat jantung juga akan berkurangan.
Jantung dewasa biasanya mempunyai berat sekitar 300g, tetapi data menunjukkan ia boleh mengecut ke 140g pada peringkat akhir kebuluran.
Jika jangkitan kuman tidak berlaku, seseorang itu boleh maut akibat kegagalan jantung.
Penghasilan Hormon Turut Terkesan Akibat Kebuluran
Di samping itu, kebuluran juga menyebabkan perut menjadi kembung, serta nausea dan muntah.
“Dalam kalangan kanak-kanak, antara masalah berbahaya yang paling biasa dialami akibat kebuluran adalah marasmus (tulang kering) dan kwashiorkor yang menyebabkan perut membengkak.
“Keadaan ini memerlukan pengurusan pakar bagi mengelakkan kematian awal,” kata Abdel-Mannan.
Kebuluran juga boleh memberi kesan terhadap otot saluran pencernaan sehingga hilang kemampuan untuk menolak makanan masuk ke dalam perut. Ini boleh menyebabkan komplikasi lain seperti pankreatitis.
Tambah Abdel-Mannan, kebanyakan individu yang kebuluran akan mengalami jangkitan sekunder seperti gastroenteritis apabila sistem imun terhenti.
Malah, penghasilan hormon testosteron, estrogen dan tiroid juga akan terkesan tanpa lemak dan kolesterol dari makanan.
Situasi ini kemudiannya menyebabkan tulang menjadi lemah, kitaran haid kacau-bilau serta meningkatkan risiko hipotermia.

Luka Tak Sembuh, Sawan & Serangan Jantung Boleh Berlaku
Di samping itu, Public Health Malaysia turut menyenaraikan bagaimana kebuluran menyeksa seseorang dan meragut nyawanya secara perlahan-lahan.
Memandangkan badan mengambil tenaga dari organ, fungsinya akan melemah sebelum berhenti sepenuhnya.
“Buah pinggang berhenti tapis darah. Hati rosak. Paru-paru gagal. Ini dipanggil kegagalan organ berganda dan ia adalah langkah terakhir sebelum kematian berlaku,” kata PHM.
Disebabkan oleh sistem imun yang lumpuh, sel baharu tidak dapat dihasilkan yang menyebabkan luka kecil tidak sembuh. Keadaan ini kemudiannya boleh berlaku jangkitan yang menjadi maut.
Kebuluran juga menyebabkan darah menjadi ‘kering’ akibat ketiagaan elektrolit, garam dan nutrisi lain seperti kalium dan magnesium. Ini seterusnya menjadikan denyutan jantung tidak sekata dan meningkatkan risiko serangan jantung.
Malah, otak juga akan rosak akibat kelaparan yang melampau. Seseorang individu akan tidak sedarkan sendiri, mengalami sawan atau koma. Kanak-kanak pula tidak lagi menangis kerana sudah kehabisan tenaga.
“Bagi kanak-kanak, proses ini berlaku lebih cepat. Tubuh mereka kecil, lemah, dan sangat bergantung pada makanan untuk terus hidup,” tambahnya lagi.
Makan Semula Selepas Kebuluran Boleh Mengakibatkan Maut
Malah, lebih teruk lagi apabila seseorang yang kebuluran mula makan semula (refeeding syndrome), perkara ini juga boleh membunuhnya.
Ini kerana kerosakan yang dialami oleh tubuh badan adalah sangat teruk sehingga terlalu banyak nutrisi yang diambil dalam empat ke tujuh hari pertama boleh meningkatkan penghasilan glikogen lemak dan protein di dalam sel dengan terlalu laju.
“Makanan perlu diperkenalkan semula secara perlahan-lahan dan di bawah kawalan perubatan,” kata Abdel-Mannan.
Pun begitu, individu yang pulih dari kebuluran masih akan merasakan kesan fizikal dan psikologi seumur hidup mereka.
Tambah Abdel-Mannan, kebuluran boleh mengehadkan perkembangan otak dalam kalangan kanak-kanak yang berumur kurang dua tahun.
“Ini kemudiannya mengehadkan mereka untuk mencapai potensi penuh secara kognitif dan mempunyai kesan negatif berkekalan ke atas kesihatan di masa hadapan,” tambahnya.
Source:


![Usaha Warga Emas Rakam Momen Majlis Indah Guna Telefon ‘Old School’ Buat Ramai Sebak [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)

![Ramai Puas Hati Lihat Cara Lelaki Ini ‘Ajar’ Pemandu Potong Q [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)
![Canggih! Wanita Kongsi Pengalaman Naik Teksi Tanpa Pemandu Di China [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/technology.jpeg)