liza28/05/2026 - 09:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Mei – SkyWorld Development Bhd mencatatkan penurunan ketara dalam keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026), susut hampir 47% kepada RM29.6 juta berbanding RM56.15 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata prestasi yang lemah itu disebabkan oleh tekanan margin lebih rendah, kos operasi meningkat serta kerugian tukaran asing.
“Hasil kumpulan juga merosot 3.37% kepada RM430.48 juta daripada RM445.49 juta pada FY2025, menunjukkan kelembapan kecil dalam prestasi jualan keseluruhan.
“Antara faktor utama yang menjejaskan keuntungan ialah kerugian tukaran asing sebanyak RM5.1 juta, peningkatan kos pembiayaan sebanyak 30% kepada RM19.07 juta, serta kenaikan kos pentadbiran 9.5% kepada RM73.38 juta.
“Perbelanjaan jualan dan pemasaran turut meningkat 8.4% kepada RM16 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Namun, SkyWorld masih kekal mencatat keuntungan yang menunjukkan operasi syarikat masih stabil dari segi asas perniagaan.
Bagi suku keempat tahun kewangan (4QFY2026), keuntungan bersih susut 68.16% kepada RM5.83 juta walaupun hasil meningkat 15.46% kepada RM132.18 juta.
Penurunan ini berpunca daripada perubahan campuran hasil kepada projek bermargin lebih rendah, semakan naik kos pembangunan bagi projek Vesta Residences serta hapus kira hutang lapuk sebanyak RM800,000.
Dari sudut operasi, jualan keseluruhan FY2026 kekal kukuh pada RM1 bilion, disokong pelancaran projek baharu dan sedia ada. Sementara itu, jualan belum dibil melonjak lebih dua kali ganda kepada RM1.1 bilion berbanding RM500 juta pada tahun sebelumnya, memberikan gambaran aliran pendapatan masa depan yang lebih jelas.
SkyWorld berkata pengembangan ke Pulau Pinang menjadi antara pemangkin utama pertumbuhan apabila syarikat berjaya meniru model produk terasnya di luar Lembah Klang yang meningkatkan keyakinan pasaran terhadap projek pembangunan kumpulan.
“Kemasukan kami ke Pulau Pinang merupakan perubahan besar. Dengan kualiti produk yang terbukti dan keupayaan pelaksanaan kukuh, pertumbuhan jualan mencerminkan keyakinan pasaran terhadap pembangunan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lee Chee Seng.
Dari sudut kewangan, syarikat berada dalam kedudukan stabil dengan nisbah gearing bersih 0.25 kali serta tunai melebihi RM300 juta, memberikan ruang fleksibiliti untuk membiayai dan mempercepatkan projek baharu.
SkyWorld turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 0.38 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen FY2026 sebanyak 0.6 sen sesaham, lebih rendah berbanding 1.1 sen pada FY2025, selari dengan keuntungan yang menurun.
Bagi FY2027, kumpulan itu merancang pelancaran projek baharu dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM2 bilion merangkumi Malaysia dan Vietnam, sebagai sebahagian strategi pengembangan jangka panjang.
Setakat ini, SkyWorld telah mencapai pelancaran kumulatif GDV sebanyak RM2.8 bilion daripada sasaran keseluruhan RM4.6 bilion menjelang 2026. - DagangNews.com






