AYS peroleh hasil RM1.08 bilion bagi FY26, kembali catat untung bersih dipacu kecekapan operasi

Business & Finance
26 Jun 2026 • 4:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AYS peroleh hasil RM1.08 bilion bagi FY26, kembali catat untung bersih dipacu kecekapan operasi Image from: AYS peroleh hasil RM1.08 bilion bagi FY26, kembali catat untung bersih dipacu kecekapan operasi amree26/06/2026 - 16:21 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 JunAYS Ventures Berhad berjaya mencatatkan pusingan balik prestasi kewangan dengan meraih keuntungan bersih RM1.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).

 

Bagi tempoh tinjauan tersebut, kumpulan berkenaan turut mengumpul pendapatan yang sederhana dengan mencecah sebanyak RM1.08 bilion, susut 18.57% berbanding RM1.32 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Pencapaian ini dipacu terutamanya oleh kecekapan operasi, disiplin margin ketat, pengurusan kos berhemat serta kedudukan pasaran strategik di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

"Pemulihan kali ini merupakan peningkatan ketara berbanding kerugian bersih sebanyak RM12.89 juta yang pernah direkodkan pada tahun kewangan 2025," jelas AYS dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pengurusan menyatakan penyederhanaan hasil ini mencerminkan pendekatan pengurusan risiko lebih berdisiplin dengan fokus kepada pelanggan dan projek bernilai tinggi yang menawarkan margin sihat.

 

Bahagian dagangan dan perkhidmatan kembali mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM5.91 juta berbanding kerugian RM14.98 juta sebelum ini, disokong oleh faktor rasionalisasi kos logistik.

 

Kumpulan Kekal Berdisiplin Berdepan Ketidaktentuan Global

Segmen itu menurut kenyataan AYS, sepanjang FY26 berjaya melaksanakan pengoptimuman campuran jualan ke arah sektor pertumbuhan lebih tinggi seperti minyak dan gas (O&G) serta pusat data (DC).

 

"Sementara bahagian pembuatan meraih PAT RM1.36 juta dengan hasil naik 29.3% susulan permintaan stabil produk 'steel purlin' dan penerimaan pasaran terhadap sistem 'CHY Truss Deck'," katanya.

 

Kos kewangan kumpulan juga menyusut sebanyak 30.15% hasil daripada pengoptimuman pengurusan modal kerja dan pengurangan pergantungan kepada kemudahan bank yang menanggung faedah.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif AYS, Oh Chiew Ho berkata, kumpulan itu kekal berdisiplin dalam melaksanakan keutamaan strategik walaupun berdepan lagi dengan ketidaktentuan makroekonomi global.

 

Beliau menambah, syarikat tersebut turut mempunyai kehadiran positif secara lebih bermakna dalam beberapa projek pembangunan bernilai utama di seluruh Malaysia sepanjang tahun kewangan berkenaan.

 

"Kami juga mengekalkan momentum perniagaan melalui penyertaan berterusan dalam pembangunan sektor swasta, terutamanya yang melibatkan industri DC dengan berkembang amat pesat," jelas beliau lagi. 

 

Sebagai penghargaan, Lembaga Pengarah AYS mencadangkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 1 sen sesaham biasa bagi FY26, tertakluk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan kelak.

 

Melangkah ke depan, kumpulan terus menumpukan kepada transformasi strategik, pendigitalan operasi, dan keupayaan nilai tambah untuk memastikan pertumbuhan hasil yang mampan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved