Berjaya Property, FRIM teroka pelancongan alam semula jadi di Langkawi, Redang dan Tioman

19 Nov 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Berjaya Property, FRIM teroka pelancongan alam semula jadi di Langkawi, Redang dan Tioman Image from: Berjaya Property, FRIM teroka pelancongan alam semula jadi di Langkawi, Redang dan Tioman amree19/11/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov — Pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi di tiga pulau peranginan popular diperluas menerusi kerjasama Berjaya Property Berhad dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam meneroka inisiatif ekopelancongan serta pemuliharaan biodiversiti.

 

Langkah kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kumpulan hartanah tersebut dan anak syarikat FRIM, FRIM Incorporated Sdn Bhd, bagi mengenal pasti peluang projek berkaitan kelestarian alam sekitar dalam portfolio hartanah dan hospitaliti kumpulan berkenaan.

 

Menurut Business Times pada Khamis, menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai usaha pembangunan pengalaman pelancongan yang berasaskan kepada alam semula jadi di destinasi hotel Berjaya di Langkawi, Kedah; Redang, Terengganu dan Tioman, Pahang.

 

"Inisiatif berkenaan turut merangkumi aktiviti rekreasi dan pendidikan di FRIM, sekali gus membuka peluang dengan menggabungkan pengalaman pelancongan menerusi aspek pendedahan terhadap kepentingan pemuliharaan hutan dan isu biodiversiti semasa," kata laporan tersebut.

 

Selain ekopelancongan, kedua-dua pihak akan meneliti penggunaan pokok, anak benih dan spesies tumbuhan yang tertentu daripada tapak semaian FRIM Inc bagi pembangunan hartanah, projek kediaman serta kemudahan hospitaliti pada masa depan di ketiga-tiga pulau berkenaan.

 

Kerjasama tersebut turut meliputi penilaian biodiversiti, program penanaman pokok, pendidikan alam sekitar dan khidmat nasihat teknikal bagi menyokong pembangunan yang lebih mampan.

 

Berjaya Property_DagangNews2026

 

Kedua-dua pihak juga akan meneroka potensi pembangunan produk kesihatan dan kesejahteraan berasaskan sumber hutan dengan memanfaatkan keupayaan penyelidikan FRIM.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property, Syed Ali Shahul Hameed berkata, kerjasama itu membolehkan kumpulan berkenaan memanfaatkan kepakaran saintifik FRIM dalam mengintegrasikan pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian ke dalam pembangunan hartanahnya.

 

"Kepakaran tersebut berpotensi membantu Berjaya Property dalam menerapkan pendekatan yang lebih bertanggungjawab terhadap isu alam sekitar dalam projek pembangunan dan operasi hospitaliti dikendalikan syarikat ini," kata beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FRIM Incorporated, Faizal Ramli pula berkata, kerjasama dua entiti berkenaan bakal menyediakan platform untuk mengaplikasikan hasil penyelidikan serta kepakaran teknikal institut itu dalam inisiatif komersial dan alam sekitar.

 

Menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada pemuliharaan biodiversiti, landskap mampan dan pelancongan berasaskan alam semula jadi, selain meneroka penggunaan produk berasaskan hutan yang dibangunkan melalui penyelidikan FRIM.

 

Kerjasama itu ujar beliau, dijangka membuka ruang kepada penerapan kepakaran penyelidikan perhutanan dalam pembangunan hartanah dan hospitaliti, di samping memperkukuh usaha memelihara khazanah alam semula jadi negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved